Tindakan nekad yang diambil Ketua Pegawai Operasi SMaju Agro Venture, Suhaidy Shuib meninggalkan kerjaya di perkhidmatan awam berhasil apabila projek ternakan udang karanya memberikan pulangan lumayan.

Suhaidy berkata, beliau mula berjinak-jinak menternak udang kara pada 2013 namun selepas mengikuti kursus-kursus yang disediakan, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan mengusahakan ternakan tersebut secara sepenuh masa.

Selepas lebih lima tahun, Suhaidy berkata, beliau kini bergerak secara kumpulan membantu melahirkan ramai penternak baharu menerusi bimbingan, pemindahan teknologi dan mengambil semula ternakan untuk dipasarkan secara bersama.

"Harga udang kara hidup sekitar RM80 hingga RM90 sekilogram l, sama seperti harga udang galah tetapi permintaan untuk ternakan ini adakalanya meningkat dan menurun.

"Macam saya, pendapat bulanan boleh mencecah lima angka. Saya sendiri tidak sangka bermula sebagai hobi kini boleh jadi pendapat yang sangat-sangat lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online di Pavilion Selangor pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini hari ini.

Pameran dwitahunan itu berlangsung dari 22 November lalu hingga 2 Disember ini.

Sementara itu, Suhaidy berkata, selain mengusahakan penternakan udang kara, beliau turut membuka membuka restoran di lokasi sama bagi memberi peluang orang ramai menikmati udang kara segar.

"Kita buat konsep kedai atau restoran di kawasan ternakan jadi pelanggan boleh pilih udang kara yang dimahukan. Kita akan masak mengikut menu yang diminta.

"Harganya pula bergantung kepda kuantiti. Biasanya kita menyediakan pakej RM44 untuk empat ekor udang termasuk pencuci mulut dan air," katanya. - UTUSAN ONLINE