Dalam suasana masyarakat masa kini, tadika merupakan platform membantu ibu bapa dalam pengisian nilai-nilai Islam bagi anak-anak agar membesar de­ngan sandaran ilmu pengetahuan yang menjalinkan aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Tadika Tahfiz Teduhan Iman (TTTI), Ajil dekat sini, sebuah tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan dan pernah diangkat sebagai tadika contoh bagi daerah ini turut bergerak ke arah memenuhi matlamat itu.

Ditubuhkan oleh pasangan suami isteri, Zulkarnain Ismail dan Ainis Azira Ismail tiga tahun lalu di bawah Kumpulan Teduhan Iman, TTTI disasarkan berada di kedudukan terbaik di peringkat negeri kelak.

“TTTI bergerak atas landasan itu untuk bersama menyumbang ke arah pembentukan jati diri anak-anak agar menjadi insan yang seimbang,” ujarnya di sini hari ini.

Beroperasi di premis Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), TTTI brusaha memastikan anak-anak lancar dan hafaz muqaddam serta Yasin sebelum melangkah ke alam persekolahan.

“Mereka juga didedahkan de­ngan bimbingan solat dan kepen­tingan mengerjakannya sehingga menjadi amalan sebagai teras pembentukan jati diri sebagai seorang muslim,” ujarnya.

Selain diperkenalkan dengan pelajaran lazimya di peringkat tadika, katanya, anak-anak turut dibim­bing dengan asas penguasaan bahasa Mandarin.

“Ia bagi menyemai minat mereka untuk menguasai bahasa tersebut dan bahasa-bahasa lain yang penting dalam aspek perhubu­ngan masa kini dan me­ngukuhkan keyakinan mereka,” ujarnya.