Sesuatu produk dipamerkan di premis untuk perhatian pelanggan tidak memadai apabila memilih gaya pemasaran tradisional yang lazimnya diamalkan oleh kebanyakan premis atau penjual.

Penggunaan media sosial dalam melakukan pemasaran produk dilihat makin berkembang sejak kebelakangan ini menjadikan platform itu merupakan medium terbaik dalam menyebarkan barangan mereka ke serata negara.

Menyedari kepentingan media sosial dalam membangunkan perniagaan, seorang pengusaha kek dan pastri di bandar Kuala Lipis, Pahang, Suziyanti Omar, 38, memanfaatkan sumber itu dalam memperkenalkan produknya di alam maya.

Dia yang memulakan perniagaan dari rumah sejak tiga tahun lalu pada peringkat awalnya mengambil tempahan daripada ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

“Saya nampak potensi pasaran secara dalam talian mampu berkembang apabila rakan menghebahkan produk kek dan pastri saya kepada kenalan mereka di tempat lain. Mulai saat itu, ramai yang berhubung untuk memperoleh perkhidmatan tempahan kek.

“Ketika mula bergiat sebagai pengusaha kek dan pastri, saya masih sebagai seorang penjawat awam dan melakukannya secara sambilan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di premis Sufilicious Bakery, Pusat Perniagaan Bukit Residen, Kuala Lipis baru-baru ini.

Katanya, memandangkan perniagaan semakin berkembang, dia memohon cuti selama beberapa bulan untuk meneruskan pembuatan kek dan pemasaran secara proaktif menerusi dalam talian.

Ibu kepada tiga anak berusia antara setahun hingga sembilan tahun itu berkata, berbekalkan modal sebanyak RM50,000, dia membuka premis kek dan pastri pada 21 Januari lalu di Pusat Perniagaan Bukit Residen.

“Bermulanya operasi premis itu, saya memperkenalkan produk baharu kepada pelanggan termasuk tart keju, kek brownies, kek keju, kek red velvet, kek pelangi, kek snow cheese dan kek indulgence chocolate,” katanya.

Menurutnya, produk Sufilicious Bakery kebanyakannya ditempah oleh pelanggan untuk meraikan majlis perkahwinan termasuk hantaran pengantin, majlis hari jadi, majlis persaraan, cenderamata, khatam al-Quran, sambutan Hari Guru, Hari Pekerja dan musim perayaan.

Katanya, suaminya, Mohd. Hafizul Abd. Hamid menjadi pendorong kepadanya menjalankan perniagaan itu, selain ahli keluarga serta pelanggan yang membolehkan produk keluarannya dikenali penduduk sekitar Lipis sehingga ke Lembah Klang.

“Saya juga membuka kafe di premis Sufilicious Bakery untuk memudahkan pelanggan menikmati kek yang disediakan dan juga menjual peralatan (bahan) membuat kek serta khidmat bimbingan produk,” ujarnya.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk Sufilicious Bakery boleh layari laman sosial Facebook sufiliciousbakery atau emel ke [email protected] dan boleh berhubung melalui aplikasi WhatsApps di talian 013-9399118.