Inisiatif yang dirintis bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Terengganu International Design Excellence (TIDE) itu, sekali gus bagi memberi imej menyakinkan pengguna dan membantu mening­katkan pasaran produk tempatan.

Timbalan Pengarah Krafta­ngan Malaysia Terengganu, Mohd. Suhaimi Zakaria berkata, ia juga bertepatan usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kemasukan serta lambakan songket dari luar negara terutama dari India.

“Dengan adanya label berkenaan mengikut standard MS 1747, secara tidak langsung dapat mendidik pengguna untuk mengenal pasti keaslian songket Terengganu sekali gus melindung me­r­e­ka daripada tertipu.

“Selain logo pada kain, pengguna akan turut diberikan kad pengesahan songket asli tenunan tangan yang mengandungi nombor siri pada setiap tekstil berke­naan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Logo Songket Asli Tenunan Tangan Terengganu di Krafta­ngan Malaysia cawangan Terengganu di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Dr. Tengku Khairy Tengku Rahman.

Menurut beliau, setakat ini 500 unit label berkenaan telah dipohon oleh 26 usahawan kraf songket yang telah lulus Sesi Pe­ngujian Standard Kualiti Songket bagi fasa pertama yang dilakukan di makmal ujian di sini," katanya.

Menurut Mohd. Suhaimi, terdapat sembilan kaedah pengujian untuk menentukan kualiti sehelai songket iaitu ujian kepadatan benang, perubahan dimensi serta ketahanan warna terhadap cahaya, basuhan, cucian kering, air, perpeluhan, gosokan dan geseran.

Beliau menarik perhatian, penggunaan logo tersebut diyakini akan memberi manfaat besar terhadap usahawan kraf songket dalam memastikan kualiti pengeluaran produk sentiasa konsisten dan menepati standard ditetapkan.

“Secara tidak langsung ia akan menjadi penanda aras terhadap kualiti dan keaslian produk songket tempatan malah memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk kita telah dihasilkan melalui proses sistematik serta bermutu tinggi,” katanya.