Mungkin di awal pengenalannya, itu adalah antara fungsi utama sarung telefon. Namun, kini sarung telefon bukan lagi sekadar pelindung, malah menjadi tarikan apabila dijual dalam pelbagai bentuk serta corak menarik.

Pergi sahaja ke mana-mana kedai yang menjual aksesori telefon, pasti langkah akan terhenti dan mata pula tidak jemu mengamati bentuknya yang menarik. Mungkin juga ada yang menyukai sarung telefon tempahan khas yang tidak ada pada orang lain.

Bagi seorang usahawan dalam talian, Tengku Samihah Tengku Fazali, 28, dia yang memulakan perniagaan menjual sarung telefon yang ditempah khas (custom-made) daripada pelanggan sejak Februari 2013 menganggap perniagaan ini menarik perhatian pelbagai golongan sehingga mendapat permintaan tinggi setiap bulan.

“Saya tidak menyangka penjualan sarung telefon yang ditempah khas seperti dilekatkan gambar sendiri dan menulis nama pada belakang sarung mendapat sambut menggalakkan. Mungkin sarung itu berbeza dengan apa yang dimiliki orang lain, seperti yang banyak dijual di pasaran,” katanya sambil memberitahu kebanyakan mereka yang menempah sarung telefon akan menghantar rekaan atau gambar kepadanya untuk memastikan sarung telefon tersebut bercorak eksklusif.

Tengku Samihah yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang memberitahu, perniagaan sarung telefon rekaan khas itu dijalankannya dengan bantuan keluarga.

Menurutnya, berurusan dengan keluarga sendiri lebih mudah kerana banyak urusan berkaitan produk terutama tempahan berjalan lebih lancar.

“Walaupun saya berkelulusan dalam bidang sains, namun minat terhadap perniagaan ini membantu saya untuk berusaha dengan lebih kuat bagi memastikan bisnes dalam talian ini membuahkan hasil yang lumayan,” katanya.

Katanya, setakat ini, dia mampu menjual sarung telefon rekaan khas sebanyak 4,000 unit sebulan.

Menurutnya, penggunaan sarung telefon kini telah menjadi trend kerana pelbagai majoriti masyarakat mempunyai telefon pintar sendiri.

Walaupun menghadapi persaingan dengan pelbagai jenis sarung telefon berbentuk menarik di pasaran, namun, perniagaan sarung telefonnya tetap menjadi pilihan pelanggan kerana direka khas mengikut cita rasa dan kreativiti idea daripada pembeli.

“Pelanggan boleh menempah sarung telefon ini melalui WhatsApp dengan menghantar butiran mengenai corak atau gambar menarik untuk ditampal di bahagian belakang sarung yang mengambil dua atau tiga hari untuk siap selepas pelanggan membayar harga sarung tersebut.

“Pihak kami akan menghadapi kekangan sekiranya sarung telefon yang ditempah merupakan model terbaharu di pasaran atau jarang digunakan di negara ini,” katanya.

Kebanyakan pelanggan yang membeli sarung telefonnya menganggap sarung tempahan khas tersebut yang ada gambar mereka lebih tahan lama dan tidak cepat pudar, selain berasa berbaloi dapat memilikinya pada harga RM50 hingga RM80 sahaja, bergantung pada rekaan yang ditempah.

Sehingga kini, dia mempunyai pelanggan dari luar negara yang sering menempah sarung telefon rekaan khasnya iaitu dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Ditanya tentang cabaran perniagaan bisnes dalam talian ini, dia terpaksa mengambil tahu dengan lebih cepat kemasukan model telefon terbaharu agar setiap pelanggan tidak kecewa sekiranya model telefon tersebut tidak dapat ditempah.

“Pihak kami selalunya menerima tempahan model telefon yang popular seperti jenama Iphone dan Samsung, namun, sekiranya ada permintaan, kami akan cuba sedaya upaya mencari model yang sesuai agar setiap pelanggan yang menempah mendapat sarung telefon khas daripada kami,” katanya.

Bagi mereka yang berminat menempah sarung telefon rekaan khas atau meletakkan gambar menarik boleh menghubungi Tengku Samihah di laman instagram dan Facebook vfyprint atau menempah melalui aplikasi WhatsApp :ke talian 012-4413041.