Lulusan Diploma Kejururawatan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam itu memberitahu, dia melupakan hasrat untuk menjadi seorang jururawat setelah berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Saya tidak pernah terfikir perniagaan ini menerima sambutan menggalakkan. Namun apa yang pasti, saya suka memasak. Jadi, membuat sandwic ini merupakan kepakaran saya.

“Pada mulanya, saya agak risau untuk memulakan perniagaan, lebih-lebih lagi secara dalam talian. Alhamdulillah, suami dan keluarga banyak menyokong saya sehinggakan suami terpaksa berhenti bekerja untuk menguruskan Garsa Kitchen,” katanya kepada S2.

Dia yang menguruskan perniagaan di kediamannya di Taman Setiawangsa menyediakan sandwic yang sedap dan lazat serta ramuan segar untuk pelanggannya.

“Saya amat mementingkan kualiti sandwic yang dijual. Justeru, saya akan menggunakan bahan-bahan premium seperti tomato, salad, daging, ayam dan telur yang berkualiti.

“Walaupun kos agak mahal untuk mendapatkan ramuan sandwic tersebut, tetapi bagi saya, kelazatan sandwic Garsa Kitchen perlu dijaga kerana kami menggunakan produk terbaik untuk pelanggan kami,”katanya.

Bagi Natasha, setiap pelanggan yang mahu menempah sandwic perlu melakukan tempahan sehari sebelum, dan memaklumkan nama, alamat penghantaran serta perisa bagi memudahkan urusan tempahan.

“Kami menggunakan konsep Cash On Delivery (COD). Setelah menerima tempahan secara dalam talian, rider (penunggang) motosikal akan menghantar pesanan sandwic kepada pelanggan mengikut masa, waktu dan tempat,” katanya.

Garsa Kitchen menawarkan 10 perisa iaitu Beefstic, Tuna Turner, Eggtra-Ordinary Chicken, Tuna on Fire, Vecheesetable, Purkey Turkey, Eggstacy, Chickster, Fiesta, Popeye’s dan LAMBorghini.

“Harga sandwic bagi kotak saiz sederhana adalah RM22 hingga RM45, mengikut perisa. Manakala saiz besar berharga RM35 hingga RM45 sekotak.

“Kami mengehadkan minimum RM40 untuk setiap tempahan dan caj RM10 dikenakan untuk penghantaran,” katanya.

Sehingga kini, lebih 50,000 kotak sandwic telah terjual sejak Oktober 2014, selain mempunyai dua lokasi penghantaran iaitu di Shah Alam dan Taman Setiawangsa.

Bagi menambahbaik khidmat penghantaran, Garsa Kitchen mula menyediakan servis suprise delivery kepada pelanggan yang ingin membuat kejutan kepada rakan-rakan dan orang tersayang.

“Kita akan menyediakan kad untuk pelanggan menulis ucapan sebelum sandwic tersebut dihantar kepada orang yang dihadiahkan,” katanya.

Mempunyai kira-kira 35 kakitangan, dia mendapat tempahan menggalakkan daripada pelanggan yang bekerja di pejabat dan tempahan untuk majlis-majlis tertentu.

Bagi mereka yang mahu menempah sandwic yang segar dan lazat,boleh hubungi Garsa Kitchen di talian 011-32916119 atau melalui instagram : Garsa.kitchen.