Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, seramai 10,000 usahawan wanita dijangka menerima manfaat daripada skim terbabit jika setiap seorang menerima pembiayaan sebanyak RM10,000.

Katanya, kerajaan prihatin dan komited dalam membantu golongan wanita yang bukan sahaja memainkan peranan pen­ting dalam pembangunan negara, malah merupakan tulang belakang utama dalam institusi kekeluargaan.

“Skim ini dijangka dapat membantu mendorong usahawan wanita untuk menambah pendapatan dan mempertingkatkan ekonomi keluarga. Selain itu, ia juga dapat membantu wanita yang menjadi ketua isi rumah seperti ibu tunggal.

“Peruntukkan dana ini dapat diberikan daripada hasil kutipan bayaran balik pinjaman yang diterima iaitu sebanyak RM400 juta,” katanya dalam majlis pelancaran skim terbabit di Serdang dekat sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Zainuddin Abdul Rahman Penasihat Pemba­ngunan Keusahawanan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, had pembiayaan pertama bagi skim terbabit adalah RM10,000 dan pembiayaan seterusnya sehingga RM20,000.

Jelasnya, skim tersebut menggunakan konsep berkumpulan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih mudah, cepat dan efisien iaitu setiap kumpulan terdiri daripada lima orang ahli yang kesemuanya wanita.

Shahrizat pula mencadangkan agar ibu tunggal dapat diberi peluang untuk menerima pembiayaan tersebut untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan kerana me_reka merupakan tulang belakang dalam keluarga.

“Wanita selama ini merupakan pembayar balik pinjaman TEKUN Nasional yang terbaik, jadi pembiayaan khusus kepada wanita ini menepati objektif membantu usa_hawan wanita yang memerlukan sokongan modal,” ujarnya.

Sehingga kini, seramai 140 orang usahawan wanita melibatkan 28 kumpulan telah menerima pembiayaan berjumlah RM990,000 di bawah Skim Pembiayaan Program TemanNita.