Berbekalkan semangat yang tidak pernah luntur, Pengarah Urusannya, Siti Fatonah Arbain sentiasa positif dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan demi memastikan kerjaya yang di bina bersama suaminya yang juga merupakan Pengarah Operasi, Mohamad Jamil Mahidin tidak berhenti di pertengahan jalan.

Sebaliknya mereka mahu membina empayar untuk bakal-bakal usahawan ternak di negara ini.

Nekad meninggalkan kerja makan gaji biarpun punya jawatan baik dan bergaji lumayan, Siti Fatonah tidak pernah menyesal berbuat demikian.

Malah hasil titik peluhnya, beliau kini boleh dianggap sebagai usahawan ternak yang berjaya.

Bagaikan tidak percaya dengan kejayaan yang dikecapi kini, Siti Fatonah baru-baru ini menerima Anugerah Khas Perdana Menteri dan Penternak Jaya Kebangsaan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2014.

Ujarnya, kejayaan tersebut tidak menjadikan beliau selesa sebaliknya ingin meneroka pelbagai bidang dalam industri penternakan.

Berbekalkan modal sebanyak RM370,000, hasil jualan sebuah rumah milik dan wang simpanan, beliau memulakan projek ternakan lembu dengan membeli sebidang tanah seluas satu hektar di Kuala Selangor .

Pada hari ini, Siti Fatonah telah mewujudkan Akademi Usahawan MJ Fatonah yang ditubuhkan sejak 2007 dan menerima 2,634 peserta sehingga Februari tahun ini.

Akademi Usahawan MJ Fatonah lahir daripada cetusan idea perkongsian ilmu dengan rakan penternak.

Matlamat utamanya adalah menghakis persepsi yang menganggap bidang penternakan dan pertanian sebagai karier kelas bawahan yang dipandang rendah oleh masyarakat.

Katanya bidang penternakan yang diusahakan secara moden dan sistematik mampu mengangkat martabat penternak kepada jutawan.

Justeru, akademi latihan tersebut boleh membantu bakal penternak mendalami ilmu pengetahuan dan pengalaman sebenar penternakan lembu, kambing, ayam kampung, itik dan puyuh menggunakan teknologi moden serta sistematik.

Menurutnya, akademi tersebut lahir daripada minat dan komitmennya untuk berkongsi ilmu bersama usahawan ternakan yang ingin mengenali selok- belok industri ternakan selain berminat meneroka pasaran itu di negara ini.

“Kami seronok berkongsi maklumat. Pada awalnya kami berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pelawat dan pelanggan yang datang.

“(Bagaimanapun), siapa sangka pada 2007, seorang rakan usahawan yang mendapat tawaran menyediakan latihan untuk kursus anjuran Mara memohon kami menggantikannya untuk mengendalikan satu sesi.

“Kami sahut cabaran itu dan sebagai penyedia latihan, Mara mahukan kami menyediakan fasiliti asas seperti bilik penginapan, makan minum, modul pembelajaran teori dan amali,” katanya yang ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Seperti mimpi, beliau dan suaminya berjaya merealisasikan impian untuk berkongsi pengalaman dan ilmu agar peserta yang terlibat dalam kursus itu turut berjaya seperti mereka.

Sejak tahun 2009, akademi latihan tersebut diiktiraf oleh Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), sebagai penyedia latihan yang menepati kriteria dan keperluan jabatan.

Harapannya cuma satu, supaya ilmu dan pengalaman yang dikongsi akan membuka lebih banyak peluang kepada bakal usahawan penternak untuk memajukan perniagaan.

Kursus selama tiga hari yang ditawarkan olehnya itu meliputi 30 peratus teori melalui ceramah sementara 70 peratus lagi adalah amali iaitu penerangan dan latihan di ladang.

Beliau dan suaminya bertindak sebagai tenaga pengajar selain menjemput doktor veterinar yang berdaftar dan diiktiraf kelayakan mereka turut sama berkongsi ilmu.

MJ Fatonah menawarkan dua jenis kursus iaitu Kursus Usahawan Ternakan Ruminan yang memberi fokus kepada lembu dan kambing serta Kursus Usahawan Ternakan Unggas yang memberi tumpuan kepada ayam kampung, itik dan puyuh.

“Percaya atau tidak sebanyak 80 peratus peserta kursus berjaya menjadi usahawan ternak dengan anggaran pendapatan tidak kurang daripada RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Akademik tersebut terus menerima tawaran menyediakan kursus daripada JPV, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Risda, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Zakat Selangor(LZS), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia 
Berhad (Angkasa) dan Maktab Koperasi Malaysia(MKM).

Akademi berkenaan juga merupakan penyelia latihan yang dilantik oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) untuk bekas pesara tentera dan bakal pesara bagi menjalinkan latihan peralihan sebelum pencen.

Yang menarik menurut Siti Fatonah, penubuhan akademi tersebut tanpa peruntukan bajet yang besar.

Sebaliknya, pada awal penubuhan, syarikatnya hanya memperuntukkan sekitar RM30,000 untuk membina bilik penginapan, bilik kuliah dan peralatan kursus dan demi keselesaan peserta sementara akademi akan menambah baik fasiliti dari semasa ke semasa menggunakan wang yuran kursus sebanyak RM700 seorang selama tiga hari dua malam.

Bukanlah gelaran yang dikejar dalam bidang ternakan walaupun beliau digelar sebagai ikon atau mentor dan sebagainya.

“Gelaran itu tidak membawa sebarang makna sekiranya usahawan ternakan bimbingan MJ Fatonah masih terkapai-kapai memerlukan bantuan untuk maju,’’ ujar Siti Fatonah.

Peserta yang berkursus di akademi tersebut boleh mendapat khidmat nasihat berterusan dari semua tenaga pengajar tanpa bayaran tambahan.

Mereka juga akan dihubungkan dengan jaringan usahawan penternakan dan pertanian sedia ada untuk membantu mereka memantapkan lagi perniagaan dan jaringan pemasaran.

Impiannya hanya ingin menjadi contoh yang terbaik dalam semua perkara yang dilakukan termasuk dalam bidang perternakan selain mahu menjadi yang terbaik buat anak-anak, peserta kursus, usahawan-usahawan ternakan dan orang di sekeliling.

Dalam masa sama, beliau sering mengingatkan penternak baharu agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya berusaha dengan modal walaupun kecil.

“Apa yang telah dan sedang kerajaan sediakan untuk usahawan ternakan memang sudah banyak dan amat membantu.

Terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap industri ini. Akan tetapi, saya masih berharap beberapa perkara lagi perlu dititikberatkan oleh kerajaan.

“Saya berharap kerajaan kembali memberi perhatian kepada keperluan ilmu kepada usahawan ternakan memandangkan kursus-kursus dan latihan sekarang sangat terhad selain langkah itu amat penting untuk melahirkan usahawan ternakan yang berilmu dan berkemahiran,” jelasnya.

Tambahnya. antara faktor besar kegagalan projek ternakan adalah kekurangan ilmu sama ada ilmu teknikal penternakan, pengurusan ladang, pengurusan kewangan dan pemasaran.

Selain itu, pemantauan bantuan yang dihulurkan kepada usahawan ternakan perlu dilakukan secara berkala. Ini bagi memastikan setiap bantuan sama ada berbentuk baka mahupun mesin dan peralatan dimanfaatkan sebaiknya untuk menaiktaraf projek usahawan tersebut.