Ibarat ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, pengisian akademik semata-mata tidak lagi memadai tanpa landasan moral dan akhlak yang baik, amalan yang menjadi tuntutan agama, bacaan doa dan sebagai­nya.

Bagi ibu bapa yang inginkan keseimbangan akademik dan agama untuk anak-anak mereka, pendi­dikan prasekolah yang berkonsepkan Islam kini semakin menjadi pilihan.

Hal itu terbukti melalui kemun­culan tadika Islam Inggeris yang tumbuh dengan pesat di seluruh negara sehingga memaksa tadika-tadika yang sebelum ini tidak menerapkan pendidikan Islam ‘akur’ dengan kehendak ibu bapa dengan menyediakan konsep yang sama.

Menyedari kepentingan pendidikan Islam sebagai persediaan memasuki alam remaja, tadika Little Caliphs memperkenalkan konsep pendidikan berteraskan Islam melalui kaedah pembelajaran yang menarik, kreatif dan berlandaskan al-Quran dan hadis.

Bagi mencapai matlamat pendidikan berkualiti selari dengan dasar pendidikan negara, tadika Little Caliphs menerapkan pem­belajaran menggunakan Bahasa Inggeris sebagai persediaan awal pelajar menguasai bahasa itu dengan baik.

Bagi Abdul Razak Ismail yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tadika Khalifah Mentari, iaitu tadika yang dilesenkan oleh Little Caliphs International Sdn. Bhd, Little Caliphs merupakan program pembelajaran kreatif yang memberi penekanan terhadap pengetahuan asas agama yang disepadukan dengan kemahiran-kemahiran lain.

“Program prasekolah Little Caliphs bertujuan memperkenal Islam seawal usia kepada kanak-kanak melalui kaedah yang menarik manakala Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pe­ngantar utama.

“Pada peringkat usia empat hingga enam tahun, mereka di­didik mengenal huruf-huruf hijaiyah, kisah-kisah para Rasul dan ibadah asas yang dituntut oleh Islam seperti solat, berpuasa dan bacaan doa dalam kehidupan seharian,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau, pihak­nya juga cuba menerapkan nilai-nilai murni seperti cara dan batasan bersosial, adab dengan ibu bapa, orang tua dan guru.

“Sebolehnya kami cuba menjadi kawan kepada mereka. Melalui cara itu kebolehan dan potensi mereka lebih mudah dicungkil,’’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Tadika Khalifah Mentari, Sharifah Abu Bakar yang merupakan isteri Abdul Razak berkata, kaedah pembelajaran di Little Caliphs menggunakan tiga unsur utama iaitu islamik, Ing­geris dan kreatif.

“Sebagai guru saya ba­nyak menggunakan teknik belajar sambil menyanyi dan bercerita kerana fitrah kanak-kanak yang sukakan keseronokan.

“Melalui kaedah ini kanak-kanak akan lebih gembira untuk belajar walaupun pada awalnya mereka tidak begitu faham,’’ katanya.

Penglibatan pasangan suami isteri itu dalam bidang prasekolah kanak-kanak bermula selepas mereka mengikuti seminar ke­usahawanan yang dianjurkan oleh Little Caliphs International.

Namun, langkah mereka tidak mudah. Bermula dengan hanya dua orang pelajar ketika mula-mula beroperasi di Bandar Sunway, Selangor, mereka terpaksa bertungkus-lumus demi ke­langsungan perniagaan kerana kekurangan pelajar pada tahun pertama.

“Kami beroperasi dalam kea­daan rugi pada tahun pertama namun atas berkat kesungguhan kami, Allah permudahkan laluan dan pada tahun berikutnya jumlah pelajar meningkat kepada 59 orang.

“Kejayaan ini dicapai melalui pemasaran agresif di Facebook di mana cerita mengenai kelebihan pusat tadika kami tersebar dengan cepat di laman sosial selain mendapat testimoni yang positif daripada para ibu bapa.

“Perkembangan perniagaan ini juga banyak dibantu melalui kursus pengurusan, cawangan, pemasaran dan kemahiran guru yang dianjurkan oleh Little Caliphs International,” ujar Abdul Razak yang kini mempunyai tiga cawangan tadika tersebut.

Namun semua kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa bantuan daripada Perbadanan U­sahawan Nasional Berhad (PUNB) khusus­nya melalui dua pembiayaan yang diterima.

“Kami bersyukur kerana ditemukan dengan PUNB yang memberi suntikan dana di saat kami betul-betul memerlukannya.

“Pembiayaan pertama sebanyak RM170,000 pada 2014 digunakan untuk membuka cawangan kedua di Taman Me­dan. Manakala pembiayaan kedua berjumlah RM150,000 diterima untuk membuka cawangan ketiga di Taman Seri Manja.

“Buat masa ini kami mempunyai 313 pelajar dan pada tahun depan mensasarkan sehingga 350 orang pelajar dengan pembukaan satu lot baru di Taman Medan,’’ ujar beliau yang juga juru audit kualiti pendidikan Little Caliphs Internatio­nal.

Menurutnya, selain pembia­yaan kewa­ngan, PUNB turut menyediakan pelbagai bentuk latihan untuk mengukuhkan kemahiran usahawan dalam aspek pengurusan, pentadbiran, pemasaran dan latihan sumber manusia.

“PUNB tidak lepaskan usahawan macam itu sahaja, mereka membuat pemantauan secara berterusan untuk memastikan usahawan yang berada di bawah bimbingan mereka terus berjaya,’’ katanya.