Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Nazri Omar yakin walaupun terdapat sebahagian syarikat ini tidak layak mendapat pembiayaan bank seperti kelazimannya, masih terdapat peluang dan ruang bagi mereka untuk mengembangkan perniagaan dan
di situlah terletaknya fungsi Danajamin.

Ikuti temu bual beliau yang menjelaskan fungsi Danajamin dengan wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON.


UTUSANBIZ: Setelah lapan tahun penubuhan Danajamin sejak 2009, adakah kesedaran syarikat untuk menimbangkan pilihan mereka menyertai pasaran PDS atau bon/sukuk ini semakin meningkat?

MOHAMED NAZRI: Berdasarkan pengalaman kami, kesedaran dalam kalangan syarikat di nega­ra ini sebenarnya ada dan mereka tahu tentang perkara ini, cuma masalahnya pasaran mo­dal tidak boleh menerbitkan bon/sukuk dengan nilai yang kecil.

Bagi syarikat-syarikat ini, hakikatnya mereka tidak perlu ke pasaran modal pun sebalik­nya boleh mendapatkan pembiayaan bank tetapi berhadapan pula dengan beberapa kekangan lain, misalnya tempoh pembayaran yang pendek antara lima hingga tujuh tahun.

Ini sebenarnya merupakan antara fokus kami dalam jangka masa panjang, bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat yang menerbitkan modal yang kecil ini boleh memasuki pasaran modal.

Adakah ini juga sebenarnya bergantung kepada pelabur?

Seperti yang saya nyatakan, ada sebahagian syarikat ini nak kumpul modal kurang daripada RM100 juta.

Sedangkan pelabur-pelabur pula mengutamakan saiz terbitan yang lebih besar dan ini amat penting.

Bagi mereka, kecairan itu penting, jadi lebih besar bon diterbitkan ia akan menarik le­bih banyak pelabur.

Adakah pelabur kurang ke­yakinan terhadap syarikat ini jika tiada jaminan Danajamin?

Selalu kita perhatikan dalam tempoh lapan tahun ini, kese­mua 30 syarikat yang dibantu Danajamin sudah mencapai penarafan AAA dan dari segi pasaran pembangunan modal, ia tidak memadai untuk terbitkan RM8.8 bilion sahaja untuk dapat penarafan tersebut.

Ini memandangkan pasaran bon kita ada kepelbagaian dan ada sesetengah pelabur mencari syarikat dengan penarafan A dan AA.

Jadi apabila semuanya (yang dibantu Danajamin) mendapat penarafan AAA dan A pula tidak banyak dalam pasaran, ini sesuatu yang tidak baik dari segi pengembangan pasaran modal kerana kita mahu memberi cita rasa yang berbeza dari segi terbitan penarafan supaya pelabur mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Saya melihat, bagi pasaran modal di negara kita, pelabur tidak mempunyai keyakinan untuk beli bon/sukuk daripada syarikat dengan penarafan A tanpa jaminan kami.

Jadi, apa yang boleh dilakukan Danajamin dalam perkara ini?

Setakat ini, kami memastikan syarikat-syarikat yang terbitkan bon ini bukan segala-galanya dapat penarafan AAA.

Ini adalah satu daripada kaedah untuk bantu syarikat de­ngan penarafan A ini apabila kami memberi jaminan dengan cara berbeza.

Sebagai contoh, jika syarikat mahu terbitkan modal dalam tempoh 10 tahun, kami tidak memberi jaminan sepenuhnya sebaliknya buat secara berpe­ringkat, misalnya kita bagi jaminan bagi tempoh tiga tahun pertama dahulu.

Ini kerana di peringkat tersebut, mereka masih dalam proses nak membina aset dan risiko lebih tinggi.

Bila aset sudah siap dan ada aliran tunai, jadi risiko semakin berkurangan dan tidak perlu memberi jaminan dalam tempoh ini.

Adakah anda tidak bimbang dengan risiko daripada syarikat-syarikat berkenaan?

Bila kita buat analisis terhadap syarikat ini, kita lihat kepada struktur dengan teliti dan memantau dari masa ke semasa termasuk dari segi keadaan kredit syarikat dan syarat-syarat jaminan.

Kebiasaannya, memang ada risiko tetapi kita cuba kurangkan risiko berkenaan.

Kita perlu memahami tentang keadaan syarikat-syarikat ini, kerana mereka tidak berupaya untuk mendapat pembiayaan bank disebabkan tempoh yang pendek antara lima hingga tujuh tahun dan atas sebab itu mereka datang berjumpa dengan kita (Danajamin).

Sebenarnya, ini menunjukkan syarikat-syarikat sentiasa mempunyai pilihan untuk mengembangkan perniagaan, cuma bukan melalui kelaziman dengan pembiayaan menerusi bank.

Adakah Danajamin berdepan dengan masalah dari segi pembayaran semula setakat ini?

Setakat ini, kita tidak berdepan dengan masalah ini walaupun lapan daripada 30 syarikat yang kita bantu telah melangsaikan pembayaran mereka.

Lagi 22 syarikat ini ada yang sudah mula membuat pembayaran tetapi belum habis kerana ia bergantung kepada saiz dana diterbitkan dan tempoh bayaran semula.

Ada syarikat yang membuat terbitan bernilai sehingga berbi­lion berpandukan kepada projek yang mereka lakukan dan kebanyakannya melibatkan syarikat infrastruktur.

Danajamin sebenarnya sangat teliti sebelum memberi jaminan dan membuat pemantauan terhadap prestasi dan kewangan syarikat-syarikat ini sebelum menerbitkan modal.

Jadi, buat masa ini, kita tidak berdepan dengan masalah default (tidak boleh membuat bayaran pada masa ditetapkan).

Secara dasarnya, kita pun tidak menjangkakan lapan syarikat boleh selesaikan bayaran mereka dalam tempoh lebih awal.

Jadi, ini secara tidak langsung membolehkan syarikat-syarikat ini berdikari dan dengan modal yang ada, kami boleh membantu syarikat lain.

MUKADIMAH Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) yang dimiliki Kementerian Kewangan dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) mempunyai peranan yang cukup penting sebagai jaminan kewangan bagi memudahkan syarikat-syarikat Malaysia memasuki pasaran Sekuriti Hutang Swasta (PDS). Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Nazri Omar yakin walaupun terdapat sebahagian syarikat ini tidak layak mendapat pembiayaan bank seperti kelazimannya, masih terdapat peluang dan ruang bagi mereka untuk mengembangkan perniagaan dan di situlah terletaknya fungsi Danajamin. Ikuti temu bual beliau yang menjelaskan fungsi Danajamin dengan wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON.