Chung Soo Kiong
Chung Soo Kiong

Pengarah Urusan Sunway Construction, Chung Soo Kiong berkata, projek pembinaan sejauh 37 kilometer bagi laluan LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia di Klang itu dijangka mengambil masa 36 bulan.

Katanya, kontrak yang diraih tersebut adalah projek keempat yang diberikan kepada Sunway Construction yang juga merupakan projek tunggal terbesar dalam tempoh 36 tahun.

Beliau berkata, jajaran kerja Sunway Construction bermula di Kawasan 17 dan berakhir di Taman Sri Andalas, Klang merangkumi kerja-kerja pembinaan jejambat sejauh 9.2 kilometer, pembinaan enam stesen dan mereka bentuk serta membangunkan sebuah jam­­batan kabel ikonik merentasi Sungai Klang.

“Kami juga akan mendirikan dua kawasan Park & Rides di Pasar Besar Klang dan Sri Andalas sekali gus mempamerkan keupayaan bersepadu penuh kami dalam asas dan geoteknikal, infrastruktur awam, pembinaan bangunan dan mekanikal, elektrik dan kepakaran kerja memasang paip.

“Program transformasi infrastruktur negara ini bukan sahaja mampu menyediakan pengangkutan awam alternatif terbaik kepada orang awam, tetapi juga mening­katkan kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Soo Kiong berkata, penganuge­rahan projek tersebut meningkatkan buku tempahan keseluruhan syarikat kepada RM6.5 bilion iaitu tertinggi sejak Sunway Construction ditubuhkan.

“Projek yang diraih ini juga bermakna kami berjaya melepasi sasaran buku tempahan pada RM2 bilion.

“Untuk tahun ini, buku tempahan kami berjaya mencapai RM3.75 bilion dan menjangkakan pendapatan masa hadapan yang positif,” katanya.