Pelaksanaan strategi New Retail itu pada umumnya bertujuan membangunkan perniagaan sebagai penyedia penyelesaian kepenggunaan dan memanfaatkan data bagi meningkatkan pengalaman pengguna ketika membeli-belah.

Menerusi model yang menggabungkan kaedah membeli-belah secara dalam talian, kedai fizikal, logistik dan teknologi data, Alibaba berupaya mengembangkan industri peruncitan ke arah lebih dinamik.

Antara pendekatan yang digunakan adalah menerusi aplikasi teknologi pendigitalan. Selain memanfaatkan maklumat data, Alibaba juga mengintegrasi maklumat pelanggan, produk dan perkhidmatan merangkumi dalam talian dan kedai fizikal.

Bagi memberi pengalaman yang menghiburkan, elemen fesyen, seni dan gaya hidup turut diterapkan sekali.

Matlamat Alibaba bukan untuk jualan semata-mata, tetapi membantu penggiat industri peruncitan mengoptimumkan kepelbagaian produk mereka, meningkatkan kecekapan pengurusan inventori dan penggunaan ruang fizikal outlet di samping mewujudkan rangkaian peruncitan.

Menurut Naib Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Joe Tsai, pengguna bukan sahaja dapat menikmati aktiviti membeli-belah secara dalam talian, malah mereka juga boleh berkunjung ke kedai fizikal dan mendapatkan maklumat produk menerusi alat peranti mudah alih.

“Katakan anda menyukai sehelai pakaian di sebuah kedai namun, tiada saiz yang sesuai untuk anda.

“Namun, dengan hanya mengimbas kod bar pakaian menggunakan alat peranti mudah alih, anda dengan pantas memperolehi maklumat tentang outlet yang menyediakan saiz pakaian yang dikehendaki menerusi platform Tmall.

“Menerusi outlet yang dikenali sebagai Hema Stores pula, pelanggan bukan sahaja boleh membeli-belah barangan runcit secara fizikal, malah boleh menikmatinya terus atau membuat pesanan penghantaran ke rumah melalui aplikasi hema yang dihubungkan dengan Alipay.

"Setiap item mempunyai kod bar yang dapat diimbas bagi tujuan memperolehi maklumat produk,”katanya.

Tambahnya, membeli-belah bukan sekadar membeli barang, malah boleh dilakukan dalam bentuk hiburan dan permainan.

“Dengan menggunakan aplikasi permainan di Taobao yang dikenali sebagai Catch the Cat misalnya, pelanggan boleh ‘menangkap’ maskot Tmall Cat virtual di lokasi kedai fizikal menggunakan telefon bimbit bagi merebut peluang mendapatkan hadiah istimewa, diskaun atau kupon yang boleh digunakan secara dalam talian atau di kedai fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Pemasarannya, Chris Tung, ‘pop up store’ merupakan salah satu konsep New Retail yang memberi banyak pengalaman menarik kepada pengguna tentang sesuatu jenama atau produk dengan mengunjungi outlet fizikal.

“Banyak outlet fizikal kelihatan serupa dan tiada variasi sebagaimana ditawarkan secara dalam talian menyebabkan pelanggan tidak dapat merasai pengalaman menarik membeli-belah.

“Justeru, Alibaba mengambil pendekatan mewujudkan pop up store ini bagi memberi peluang kepada outlet fizikal mempamerkan jenama mereka dalam bentuk yang unik, interaktif dan menghiburkan seperti menggunakan aplikasi Augmented Reality (AR).

“Mereka juga boleh menggunakan keupayaan data dalam talian untuk menghubungkan identiti pengguna dan mengoptimumkan pengalaman membeli-belah di dalam outlet fizikal.

“Dalam erti kata lain, selepas anda mengenal pasti kecenderungan pelanggan anda secara dalam talian, maka anda lebih mudah memperuntukkan produk yang mereka inginkan di kedai secara fizikal,” ujarnya.

Skrin digital yang dipanggil Magic Mirror merupakan salah satu ciri teknologi yang terdapat di pop up store yang membolehkan pembeli memilih produk seperti alat kosmetik secara maya tanpa mencubanya secara realiti.

Sekiranya mereka menyukai sesuatu produk, pembeli boleh membuat pembelian melalui Alipay dengan hanya mengimbas kod QR pada skrin.

Ciri lain termasuk paparan AR di mana pembeli boleh mengimbas imej produk untuk melayari senarai yang sepadan dan mendapatkan kupon di Tmall.

Sementara itu, ruang pakaian virtual menyediakan skrin yang membolehkan pengguna mencuba pakaian secara maya tanpa perlu mencubanya di bilik persalinan sebenar. Kamera akan mengambil gambar wajah pengguna, seterusnya maklumat ketinggian dan berat dinyatakan bagi membolehkan skrin memaparkan avatar menyerupai imej diri.

Pengguna boleh memilih pakaian yang berbeza untuk melihat diri mereka memakai item pada imej avatar dan seterusnya mengimbas kod bar untuk melihat maklumat produk dan membelinya di Tmall.

Mesin layan diri turut digunakan bagi membolehkan pengguna membeli produk tanpa melalui kaunter pembayaran.