Siti Aishah dari Pokok Sena hari ini terpilih sebagai Tokoh Ibu Mithali sempena sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat negeri di sini hari ini.

Bercerita tentang rahsianya, Siti Aishah yang mempunyai lapan anak termasuk seorang anak istimewa dan 33 cucu berkata, dia dan suami, Ramli Din, 84, menerapkan nilai-nilai keagamaan dalam mengasuh anak-anak seawal usia akil baligh mereka.

“Amalan yang sering saya lakukan adalah banyakkan doa dan sembahyang hajat agar dikurniakan anak-anak yang patuh pada perintah Allah dan hormat orang tua.

“Selain itu saya juga akan selalu solat hajat setiap kali anak-anak nak ambil periksa sejak mereka di sekolah rendah,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Siti Aishah yang juga mengajar al-Quran di kampung itu berkata, dia dan suami juga tegas dalam mendidik anak-anak terutama berkaitan ibadat yang menjadi tuntutan Islam.

“Suami cukup tegas bab agama, anak-anak bila dah baligh mesti solat kalau tidak akan kena pukul.

“Namun hubungan kekeluargaan kami rapat. Setiap bulan suami akan mengadakan satu perjumpaan dengan semua anak-anak untuk berbincang dan bertanyakan apa masalah masing-masing. Tradisi ini sampai ke hari ini kami amalkan,” katanya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam majlis sambutan itu.

Dalam majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada Tokoh Pendakwah, pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr. Shukri Ahmad dan Tokoh Imam, Imam Masjid Sungai Pasir Sungai Petani, Ali Ahmad. - UTUSAN ONLINE