Sebagai buktinya, SIRIM baru-baru ini menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan syarikat swasta untuk membolehkan kerjasama dalam bidang teknologi dan pengkomersialan, sempena dengan Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017 yang dianjurkan oleh MOSTI di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil di ibu negara.

SIRIM menandatangani MoU dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membolehkan kedua-dua pihak meneroka kerjasama dalam bidang pengujian dan analitis, penyelidikan bersama, khidmat rundingan, pemindahan teknologi dan latihan amali.

SIRIM turut menandatangani MoU dengan syarikat inovasi tempatan, Zull Design Autotronic, (ZDA) bagi kerjasama dalam bidang latihan, perundingan dan bimbingan teknikal untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang reka bentuk dan fabrikasi.

Bagi kedua-dua MoU, SIRIM diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau. UTP diwakili Naib Canselornya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim manakala ZDA diwakili Pengarah Urusannya, Zulkifli Haron.

Sementara anak syarikat SIRIM iaitu SIRIM Tech. Venture Sdn. Bhd., turut menandatangani MoU dengan lima buah syarikat iaitu Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd, Strategic Euro Resource Sdn. Bhd, Safari Tech PLT, Longe Medikal Sdn. Bhd. dan Best Impulse Sdn. Bhd bagi membantu mengkomersialkan teknologi yang telah dibangunkan di SIRIM seperti BioNG, Tangki LPG, Multistage Biogas System dan peranti perubatan.

SIRIM Tech Venture diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Ajmain Kassim, manakala Sabah Energy Corporation oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Harun Ismail; Strategic Euro Resource Sdn Bhd (Pengarah Urusan, Senthilrajah a/l Indrajah); Safari Tech PLT (Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Faridzul Asyraf Mat Arifin); Longe Medikal Sdn. Bhd. (Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Izzat Ahmad Sabri); dan Best Impulse Sdn. Bhd. (Pengarah Urusan, Azri Ariffin).

Pada majlis itu, seramai 12 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diberi penghargaan atas penglibatan dalam Program SIRIM-Fraunhofer.

Mereka terdiri daripada usahawan pelbagai industri seperti elektrikal dan elektronik, bahan pembungkusan, pemesinan dan kejuruteraan, bioteknologi, makanan dan minuman, serta pelabelan dan pembungkusan.

Syarikat berkenaan melaksanakan projek bawah SIRIM Industrial Innovation Model Fund iaitu Alion Nation Solution Sdn. Bhd., Free The Seed Sdn Bhd dan RS Advanced Technology Sdn. Bhd.

Syarikat bawah program Food for Future Innovation Network pula melibatkan Algaetech International Sdn. Bhd; Solo Labeller Tech. Sdn. Bhd. dan Muslim Kitchen Sdn. Bhd.

Syarikat bawah program Micro Small Enterprises Technology Nurture Programme (Mise Nurture) pula melibatkan Micro Precision Machining Sdn. Bhd., Mozac Medicare Sdn. Bhd., Syarikat Hasan Majid Sdn. Bhd., Deligateaux (M) Sdn. Bhd., ASA Palmilk (M) Sdn. Bhd. dan Hamie Industries Sdn. Bhd.

Dr. Ahmad Fadzil berkata, bawah program SIRIM-Fraunhofer, antara penyelesaian intervensi teknologi dan inovasi yang dilaksanakan adalah peningkatan tahap mekanisasi dan automasi, adaptasi teknologi baharu dalam pembangunan produk dan proses termasuk pengujian prototaip, peningkatan proses pengeluaran serta pembangunan kompetensi dalam pengurusan teknologi dan inovasi.

“Penyelesaian yang dicadangkan dapat membantu syarikat-syarikat ini menangani keperluan khusus dan isu yang mengekang peningkatan produktiviti mereka,” katanya.

Program SIRIM-Fraunhofer bermula pada 2015, memberi penekanan kepada pengenalpastian masalah yang dialami PKS melalui audit teknologi terutama dalam teknologi dan inovasi.

Sehingga kini sebanyak 472 syarikat PKS telah menjalani audit teknologi, manakala 337 syarikat lagi menjalani pelbagai tahap pelaksanaan projek intervensi melalui adaptasi teknologi yang disyorkan.

Dalam pada itu, menurut Zulkifli, pihaknya memang menawarkan latihan kepada mana-mana belia yang berminat menceburi bidang inovasi bagi pembangunan kerjaya mereka masa depan.

Sebagai contoh ZDA memperkenal program Projek Tahun Akhir: Bengkel dan Latihan bertujuan memberi bimbingan kepada pelajar tahun akhir di universiti.

“Program ini bertujuan mengasah kemahiran pelajar yang minat berinovasi, sekali gus mendidik mereka supaya lebih berfikir dan berani membuat keputusan lantas memperoleh ciri-ciri keusahawanan dalam diri mereka.

“Kami di Zull Design (Autotronic) ingin memperbaiki keadaan yang tidak begitu sempurna.

“Justeru, program tersebut juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mengikut jejak langkah ZDA supaya menjadi ahli fikir 
yang berintegriti, kreatif dan berani membuat keputusan,” katanya.