Pengarah Urusan Seri MH Ummi, Ammar Abdullah berkata, pihak­nya memiliki pengalaman lebih 22 tahun dalam penghasilan pelbagai jenis produk kecantikan dan kesihatan memberikan penekanan yang amat tinggi kepada kualiti.

Menurut beliau, selepas me­lancarkan program Azam Tahun Baharu 2016 pada awal tahun ini, pihaknya berjaya melahirkan le­bih 300 usahawan sehingga hari ini.

“Sasaran kita mahu melahirkan lebih 300 usahawan baharu sehingga hujung tahun ini di bawah program tersebut, sekarang sudah membuahkan hasil dan mungkin bertambah lagi.

“Kebanyakan mereka kini sudah menjadi usahawan berjaya dan ada yang sudah bergelar jutawan selepas mendapat keuntu­ngan lumayan hasil jualan produk yang berkualiti,” katanya.

Beliau ditemui selepas mene­rima kunjungan rombongan pegawai-pegawai Mara dan usahawan dari Sabah di Halal Park Fasa 2, Kawasan Industri Mara Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Delegasi itu diketuai Pengarah Mara Sabah, Ruzlan Abd. Malek dan turut hadir Pengarah Mara negeri, Ismail Abdullah.

Ammar berkata, pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan daripada proses awal penghasilan produk sehingga ke pasaran.

“Kita akan membantu usahawan ini untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta menyediakan perkhidmatan pendaftaran produk dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) serta menguruskan pensijilan halal.

“Produk yang dihasilkan dikategorikan pelbagai segmen antaranya kecantikan, pencerahan, pelangsingan badan, kap­sul, ubat tradisional, coklat kunyah, koko dan kopi pracampuran, teh uncang, jus dan suplemen," ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya mempelawa usahawan baharu mencipta jenama produk sendiri dengan jaminan harga yang berpatutan.

“Mereka di luar sana harus mencari peluang menjadi usahawan berjaya sehingga bergelar jutawan. Inilah satu cara pihak kami menyumbang kepada masyarakat dengan melahirkan lebih ramai usahawan melalui pengalaman dan kepakaran yang dimiliki,” katanya.