Azmil Zahruddin

Pengarah Eksekutif Khazanah, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, timbul kerisauan kerana kebanyakan program galakkan startup dan keusahawanan hanya dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan, dan kurangnya penglibatan pihak swasta.

Jelasnya, penyertaan syarikat-syarikat swasta adalah perlu memandangkan tahap keusahawanan serta inovasi di negara ini masih tidak berkembang maju dan proses perkembangan itu me­ngam­bil masa yang lama.

“Syarikat atau pelabur swasta boleh memberi sumbangan kepada pasaran. Jika mereka tidak tahu bagaimana hendak melakukannya, kami boleh memberi panduan.

“Di peringkat kerajaan, banyak agensi kini melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melahirkan startup tempatan. Cuma apa yang merisaukan ialah kurang­nya penglibatan syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam satu sesi perbincangan yang diadakan sempena hari kedua penganjuran Komuniti Keusahawanan Global dan Kemuncak Tahun Pengko­mersialan Malaysia 2016 di sini hari ini.

Khazanah yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memiliki kepentingan utama di dalam beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Telekom Malaysia Bhd. (TM), Tenaga Nasional Bhd. (TNB), CIMB Group, Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).