AHMAD MUAZZAM MUHD. TASAKI (kiri) dan Abdul Muis Abd. Karim menunjukkan
AHMAD MUAZZAM MUHD. TASAKI (kiri)
dan Abdul Muis Abd. Karim menunjukkan
produk Al-Wiqoyah distudio Utusan. – s2/
JEFFRI IRAN

Berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika melanjutkan pengajian pada tahun 2015, dia mula menjalankan perniagaan secara dalam talian menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM700.

“Ketika itu, saya hanya simpan wang pinjaman PTPTN untuk memulakan perniagaan selama tiga bulan. Saya mula menjual gam Arab atau lebih dikenali Arabic Gum. Bahan itu merupakan satu makanan yang terkenal di negara Arab. Saya menjualnya melalui rakan sekampus dan produk itu dikatakan mampu memberi pelbagai manfaat kesihatan.

“Saya hanya dapat menjual sekitar 100 kotak yang mengandungi 1,000 peket dengan modal permulaan sebanyak RM250 secara dalam talian,” katanya yang berasal dari Melaka kepada S2.

Ahmada menganggap jumlah itu tidak memberangsangkan, sekali gus mendorongnya mengajak seorang rakan usahawan yang dikenali dalam kumpulan WhatsApp yang juga peniaga dalam talian dari Temerloh, Pahang, Abdul Muis Abdul Karim,29, untuk bekerjasama menghasilkan jus kesihatan.

Hasil kerjasama mereka, produk dalam bentuk peket tidak lagi dihasilkan, sebaliknya mereka mengeluarkan produk dalam bentuk jus yang dinamakan Al Wiqoyah. Produk itu diperbuat daripada Arabic Gam, roselle, stevia dan anggur.

Katanya, maksud Al Wiqoyah dalam bahasa Melayu adalah mencegah.

Menurutnya, mereka kemudian mengeluarkan modal sebanyak RM25,000 bagi menghasilkan 3,000 botol dan dalam tempoh dua bulan, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Sehingga hari ini, katanya, sebanyak 10,000 botol sudah terjual.

Jus Al Wiqoyah yang dipasarkan itu mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan dan dikelaskan sebagai makanan tambahan di bawah klasifikasi makanan tambahan tanpa bahan kimia dan steroid dan dikilangkan oleh pengeluar peralatan tulen (OEM) di Puncak Alam, Selangor.

Ahmada menambah, bagi tahun ini, dia mahu menyasarkan keuntungan sebanyak RM2.4 juta dengan sasaran produk terjual sebanyak 5,000 botol sebulan.

“Saya juga berharap produk ini dapat dijual di negara Arab seperti Oman dan Dubai. Selain itu, saya sedang bekerjasama dengan seorang pakar perubatan di sebuah universiti tempatan untuk memastikan produk ini terjamin kualitinya,” katanya.

Jus Al-Wiqoyah dijual pada harga promosi RM140 (harga asal RM150) sebotol dengan isian 500ml dan jika membeli lebih daripada sebotol, pengguna akan menikmati harga diskaun.

Sebagai pengasas, Ahmada kini mencari 20 ejen di setiap negeri bagi memasarkan produk itu di seluruh negara.

“Antara kelebihan menjadi ejen, pihaknya akan memberi kelas pemasaran secara offline dan dalam talian, bunting, platform pemasaran serta memberi penghargaan kepada ejen yang berjaya menjual 3,000 botol selama enam bulan termasuk tajaan menunaikan umrah,” katanya.