Pengerusinya, Datuk Mohd. Adhan Kechik berkata, untuk men­capai sasaran tersebut, pi­hak­­nya akan berusaha untuk mem­bawa masuk tanaman kenaf di seluruh kawasan.

“Setakat ini, kita telah berbincang untuk menambah lagi tanah bagi tanaman kenaf sedia ada di negeri Perlis, Kedah dan Pahang. Manakala di Johor, di masa akan datang ia lebih kepada biotek­no­logi yang menggunakan kenaf sepenuhnya.

“Selain itu, kita juga turut mendapat kerjasama dari agensi se­per­ti Lembaga Kemajuan Ke­lan­tan Selatan (Kesedar), Felda dan Felcra Bhd.,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi­kan Galeri Inovasi Kenaf (GIK) dan Kursus Rekaan Jahitan Beg Kenaf di Kampung Ayer Chanal di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN, Idris Mohd. Salleh; Pengarah LKTN negeri, Nik Muhamad Azhar Nik Mustapha dan Penolong Pengurus Kesedar Wilayah Jeli dan Tanah Merah, Azman Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd. Adhan berkata, LKTN juga akan membuka lebih banyak GIK di seluruh negara bagi mengembangkan lagi industri kenaf.

“Sehingga kini, kita sudah mem­punyai enam GIK di seluruh ne­gara dan di GIK yang baharu di­rasmikan ini kita turut menyediakan kursus jahitan beg kenaf yang melibatkan 20 peserta bagi fasa pertama. Selepas ini, kita akan memperluaskan lagi dengan pengisian bantal dan tilam,” katanya.

Ujarnya, pertambahan GIK ju­ga perlu selari dengan perkembangan penanaman kenaf untuk bekalan bahan mentah.

“Permintaan terhadap produk kenaf sangat memberangsangkan termasuk ke pasaran luar dan jualan keseluruhan yang diperoleh tahun lalu adalah RM529,000,” katanya.