Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, satu persidangan akan diadakan bersama agensi berkaitan termasuk Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk memperhalusi perkara berkenaan hujung bulan ini.

Katanya, cadangan Risda mem­perkenalkan logo berke­na­an dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) bertujuan memudahkan usahawannya memasarkan produk mereka termasuk di peringkat antarabangsa.

“Kita lancar logo halal produk muslim ini kerana ada usahawan Risda yang mengadu sukar dapatkan logo halal.

“Logo ini adalah untuk pro­duk orang Islam sahaja yang kita pantau dari pelbagai segi termasuk kebersihan dan kebaikan produk itu,” katanya beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda di sini hari ini.

Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 11,740 usahawan Risda di seluruh negara yang mengeluarkan pelbagai produk.

Mengulas lanjut kata beliau, Risda bercadang memperke­nalkan logo berkenaan bulan depan.

“Logo ini akan diedarkan kepada usahawan Risda secara per­cuma,” katanya.

Beliau menambah, Risda akan memantau logo tersebut supaya ia tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dengan kerjasama Inkubator Teknologi Makanan Mara (Intem) kita akan pastikan setiap produk yang mendapat logo ini sentiasa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Intem mempunyai pelbagai peralatan canggih untuk mengenal pasti tahap kebersihan dan kebaikan produk yang dihasilkan,” katanya.