Terletak berhampiran Sungai Perak, lokasi kebun itu strategik kerana pokok durian tumbuh subur dan menghasilkan buah yang sangat berkualiti.

Lebih mengujakan, musim durian kali ini berbuah lebat sehingga hampir satu tan setiap hari.

Ini sudah tentu menggembirakan pemilik dusun durian itu, Muhammad Yuzaini Muhammad Yusop, 39, apabila duriannya dipasarkan sehingga ke luar daerah malah hingga ke Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, dusun itu merupakan peninggalan arwah ba­panya dan kini diusahakan bersama adik-beradik yang lain.

Kata beliau, kakaknya, Noor Hasmah Wati Muhammad Yusop, 41, sanggup meninggalkan kerja sebagai pelukis pelan di Kuala Lumpur demi berbakti kepada tanah peninggalan orang tua mereka.

“Semua pokok dalam kebun ini arwah ayah kami yang tanam. Memang banyak pokok lama, pokok tua yang berusia lebih 40 tahun pun ada. Usia pokok mungkin tua namun buahnya masih berkualiti.

“Biasanya kalau musim durian, dalam satu hari kami boleh keluarkan satu tan durian ketika buahnya gugur. Tahun 2015 dulu memang sangat lebat sehingga sehari boleh keluar tiga tan sehingga tak menang tangan memungutnya,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Yuzaini menyifatkan musim durian kali ini sebagai rezeki di penghujung musim durian kerana kebanyakkan di tempat lain musim durian sudah berakhir.

Menurutnya, buah yang dikutip akan dibeli oleh peraih dari luar termasuk dari Putrajaya.

“Menjual durian terus kepada pembeli lebih menguntungkan namun saya tiada masa sebab untuk mengutip buah yang luruh sahaja mengambil masa seharian,” katanya.

Tambah Muhammad Yuzaini, seperti mana durian klon yang terdapat pelbagai nama seperti Musang King, D24 dan sebagai­nya, durian kampung turut mem­-
punyai pelbagai nama dan gela­ran tersendiri.

Kata beliau, dusun itu hanya ditanam dengan pelbagai jenis pokok durian kampung.

Jelas Muhammad Yuzaini, di dusunnya terdapat ‘Durian Badak’ yang saiz dan durinya besar dan ‘Durian Kunyit’ dengan isinya kuning pekat.

“Dahulu orang panggil Durian Kunyit tetapi sekarang Musang King,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga durian tangkal panjang dan durian botak yang durinya tumpul dan halus.

“Nama durian ini memudahkan kami mengecam po­kok­nya yang mana satu. Dalam kebun ada kami namakan satu pokok dengan nama ‘murah rezeki’. Kalau berbuah, satu po­kok sahaja boleh penuh satu bakul,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hasmah Wati menyatakan dia tidak menyesal meninggalkan pekerjaannya pada 2010 selepas ayahnya meninggal dunia.

Katanya, arwah ayahnya berpesan minta mereka adik beradik menguruskan kebun apabila ayahnya sudah tiada menyebabkan dia mengambil keputusan pulang ke kampung.

“Malah suami saya yang be­kerja sebagai jurutera membina hidup baharu di kampung. Mulanya susah sikit sebab suami tidak biasa kerja kampung namun kini semuanya sudah biasa, tiada masalah,” katanya.