Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, sehubungan itu kerajaan negeri akan menyediakan segala keper­luan termasuk pengambilan balik tanah-tanah terbabit bagi melancarkan projek berkenaan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

“Berita berhubung dengan projek ECRL merupakan pe­ngumuman yang dinantikan oleh rakyat negeri Pahang kerana ia bukan sahaja mempertingkatkan lagi tahap perhubungan antara Kuala Lumpur ke Pantai Timur tetapi merancakkan lagi pembangunan di sepanjang jajaran ECRL.

“Memandangkan besar­nya manfaat yang akan terha­sil dari terlaksananya projek ini maka kerajaan negeri akan membantu kerajaan Persekutuan bagi memudahkan segala keperluan,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­ngumumkan projek infrastruktur pengangkutan awam negara yang meliputi pembinaan landasan kereta api sepanjang 600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat yang dikenali sebagai ECRL.

Dalam pada itu, Mohd. Soffi berkata, projek transformasi pengangkutan awam berkenaan akan memberi impak besar kepada kerajaan negeri dan juga masyarakat setempat.

Katanya, ia sudah tentu dapat merancakkan lagi industri pelancongan negeri seterusnya membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Jadi kita berharap seluruh masyarakat akan memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar,” ujarnya.