Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar berkata, kebanyakan usahawan hanya mahukan bantuan kewangan tetapi liat untuk mengikuti kursus dan bimbingan yang disediakan pihak univeriti.

Beliau berkata, usahawan khususnya dalam industri kecil dan sederhana sepatutnya sedar tanpa ilmu mereka tidak mungkin dapat mengembangkan perniagaan dengan baik.

“Berilmu dan berniaga perlu seiring kerana tanpa ilmu kita akan salah haluan.

“Ada banyak cara dan strategi untuk berniaga dan ia bukan sekadar menyusun atau menggantung barang untuk dipamer sambil mengharap dibeli orang.

“UMK bukanlah sebuah bank tapi kita bersedia bantu usahawan dengan segala kepakaran yang kami ada di universiti dengan hasrat meningkatkan kedudukan usahawan ke tahap lebih tinggi,” katanya di Majlis Penyerahan Cek Program Endowmen Pembangunan Usahawan Fasa 2 di Kampus Kota UMK Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global (GERIC) UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhamad.

Pada majlis itu, Ibrahim menyerahkan cek pembiayaan mikro kredit berjumlah RM5,000 setiap seorang kepada tiga penerima iaitu Mohd Yusri Mohamad, 42, yang merupakan pembekal ikan air tawar; Nik Mas Roslina Jaffar, 41, (pengusaha aiskrim) dan Junaida Abdul Aziz, 39 (perunding kewangan).

Ketiga-tiga usahawan bukan sahaja menerima pinjaman mudah bahkan akan dipantau dan dibimbing melalui siri kursus dan sistem mentor termasuk mendapat peluang memasarkan produk mereka melalui rangkaian kerjasama UMK.

Menurut Ibrahim, dana untuk program endowmen tersebut adalah sumbangan NADICORP Holdings Sdn. Bhd yang mana seramai 10 usahawan telah terpilih untuk menerima pembiayaan Fasa 1 pada Februari lalu. - UTUSAN ONLINE