Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) negeri, Datuk Julaihi Narawi berkata, teknologi dan inovasi adalah perkara penting dalam usaha mengembangkan lagi perusahaan.

“Sarawak hanya mempunyai 2.7 juta penduduk dan kita mempunyai pasaran luar yang cukup besar seperti dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dengan populasi sekitar 620 juta orang, selain negara-negara seperti China dan India.

“Justeru, usahawan yang menyertai Program Keterlibatan SIRIM-Industri diharap dapat melihat kepentingan inovasi dan teknologi bagi nilai tambah, seterusnya dapat mengeksport produk keluaran ke luar negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Keterlibatan SIRIM-Industri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, beliau berharap SIRIM dan SME Corporation dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negeri ini, selain bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melon­jakkan sektor pembuatan.

Katanya, beliau juga yakin program Audit Teknologi melibatkan kerjasama antara SIRIM dan Institut Fraunhofer, Jerman disokong oleh kerajaan dapat memberi manfaat besar kepada industri di Sarawak.

“Sebab itu, saya minta semua usahawan di negeri ini agar tampil menyertai program yang direka khusus bagi meningkatkan produktiviti melalui aplikasi teknologi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, SIRIM telah diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi dan menaik taraf perniagaan para usahawan bagi mewujudkan inovasi ekosistem yang baik.

“SIRIM telah bertapak di Sarawak sejak 1980 dan kami mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam menyediakan aplikasi teknologi, penambahbaikan dalam pelbagai sektor seperti pengeluaran, minyak dan gas serta perkhidmatan.

“Pejabat Perhubungan ne­geri SIRIM di Kuching dengan kerjasama kerajaan negeri te­lah mengadakan pelbagai program pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti membangunkan perusahaan mikro bagi percetakan sutera saring, faundri dan teknologi tiupan kaca (sektor kraftangan),” katanya.