NORSHAHIDA LAMBRI
NORSHAHIDA LAMBRI

Selepas baik daripada pembedahan akibat penyakit tiroid yang dialaminya, Norshahida memutuskan mahu bertukar kepada bahan semula jadi untuk kegunaan sendiri.

Tanggal Julai 2016, Norshahida mula menyertai kelas membuat produk buatan sendiri menggunakan bahan yang bebas kimia dan merbahaya.

Norshahida memulakan langkah menyertai kelas membuat pelbagai jenis dan bentuk sabun buatan sendiri.

“Pada permulaannya, saya tidak menyangka akan mendapat permintaan kerana niat asal untuk pakai sendiri sahaja.

“Namun kemudian, usaha saya itu menjadi satu sumber pendapatan untuk saya. Memang tidak sangka, suri rumah yang hanya menjaga anak-anak di rumah kini boleh menjana pendapatan lumayan sebulan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga mengambil tempahan membuat sabun jenis ‘melt and pour’ untuk dijadikan hadiah tetamu bagi majlis perkahwinan atau pelbagai acara lain.

Menurutnya, antara sabun yang laris dan mendapat permintaan tinggi adalah sabun kunyit madu untuk kulit berminyak dan jerawat serta sabun tea tree oil untuk kulit kering dan sensitif serta kombinasi.

Menurutnya, sabun kunyit madu dijual pada harga RM25, manakala sabun tea tree oil, RM29.

Norshahida berkata, selepas menghasilkan sabun buatan sendiri, dia tercari-cari pula gincu bibir yang bebas bahan kimia serta tidak menghitamkan bibir, namun agak sukar menemuinya di pasaran.

Justeru, dia mula membuat kajian seterusnya untuk mencipta formula, membancuh dan menghasilkan sendiri gincu bibir.

Hadir dengan jenama DotLips, Norshahida menggunakan bahan- bahan semula jadi termasuk pewarna.

Sebagai contoh katanya, untuk menghasilkan warna merah, dia menggunakan ubi bit pada gincu bibirnya.

Sehingga kini, Norshahida sudah menghasilkan empat warna gincu bibir iaitu Nude, Orange Caramel, Red Berry dan Pink Nude serta satu lagi warna edisi terhad iaitu Red Marron dengan harga jualan RM45.

Sementara bahan-bahan asas untuk menghasilkan gincu bibir pula adalah minyak kelapa dara, shea butter dan minyak esential.

Walaupun baru dilancarkan pada awal tahun ini, gincu bibir buatan sendiri oleh Norshahida mendapat sambutan menggalakkan.

“Dalam sebulan, saya menghasilkan dan menjual kira-kira 200 unit gincu bibir yang saya cipta sendiri,” katanya yang menetap di Kota Tinggi, Johor.

Selain sabun dan gincu bibir, Norshahida turut menghasilkan produk semula jadi lain iaitu toner, serum, krim muka, pelembab bibir dan pelembab wajah.

Promosi dan jualan pula dilakukan sepenuhnya secara dalam talian, menggunakan platform laman sosial seperti Facebook dan Instagram serta khidmat vendor.

Mengenai rancangan masa depan pula, Norshahida berkata, dia mahu mengembangkan pasaran produk keluarannya yang berasaskan bahan semula jadi ke seluruh negara.