Dasar ekonomi baharu kerajaan Taiwan itu yang juga dikenali sebagai polisi Southbound, berpotensi memberi pulangan yang tinggi kepada kedua-dua negara memandangkan prospek bagi produk halal kini semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Taiwan-New Southbound Policy Countries Parlimentary Amity Association, Chung Chia Pin berkata, langkah itu juga secara tidak langsung berupaya meningkatkan pelaburan luar asing (FDI) kedua-dua negara.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan kami dalam usaha menarik pelaburan dari negara-negara Asia termasuk Malaysia bagi industri ini (halal).

“Malah, pelaburan ini juga dilihat dapat memperkukuhkan lagi pertumbuhan mampan khu­susnya dalam sektor pelancongan Malaysia dan Taiwan,” katanya ketika ditemui dalam majlis makan malam sempena Lawatan Kerja Delegasi Pembangunan Ekopelancongan Bentong, Pahang ke Taiwan, semalam.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Mohammad Shahid Ismail; Ahli Parlimen Taiwan, Chung Kun Shao; Timbalan Ketua Pe­ngarah Biro Pelancongan Taiwan, Wayne Liu; Pengarah Bahagian Pendidikan Teknologi dan Vokasional Kementerian Pendidikan Taiwan, Yang Yu Huei dan Pre­siden Taoyuan Metro Corp., Chen Kai Ling.

Azhar bersama 19 delegasi menyertai lawatan kerja bermula semalam sehingga 12 April ini.

Lawatan kerja itu diadakan atas jemputan Biro Pelancongan Taiwan setelah melihat kejayaan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena Tahun Baharu Cina 2017 yang diadakan di Bentong pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Chia Pin berkata, jumlah nilai dagangan antara Malaysia dan Taiwan menerusi polisi Southbound itu, dilaporkan mencecah hampir AS$13 bilion (RM57.6 bilion) pada tahun lalu.

“Segmen dagangan eksport mencatatkan kira-kira AS$7.1 bilion (RM31.4 bilion) manakala dagangan import turut merekodkan jumlah memberangsangkan iaitu AS$5.8 bilion (RM25.7 bilion).

“Prestasi ini membukti­kan usa­ha sama antara kedua kerajaan begitu kukuh sejak sekian lama,” katanya.