Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Perdagangan), Datuk Chua Tee Yong berkata, eksport Malaysia ke Korea Selatan setakat tahun lalu berjumlah RM2.5 bilion membuktikan potensi besar perda­gangan di antara kedua-dua buah negara.

Jelas beliau, adalah penting bagi PKS tempatan untuk tidak hanya menumpukan kepada pasaran China, malah sepatutnya mengutamakan Korea Selatan kerana potensi besar yang ditawarkan di pasaran negara itu.

“Kita mahu golongan PKS tempatan untuk meneroka pasaran di Korea Selatan kerana ia menawarkan prospek perkembangan perniagaan yang sangat memberangsangkan, selain ke­lebihannya sebagai negara maju dan membangun.

“Malah ketika ini, kita boleh lihat bahawa Korea Selatan mempunyai pengaruh yang kukuh terhadap pasaran Malaysia ter­utama dari segi budaya, makanan, gaya hidup, kosmetik dan pelbagai barangan asas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada seminar ‘ASEAN-Korea: Membina Kapasiti dan Sokongan Fasilitasi Perdagangan’ bagi mempromosi pengantarabangsaan PKS di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Naib Pre­siden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Dr. Ir. Andy Seo.

Pada tahun 2015, PKS me­nyumbang 36.3 peratus kepada KDNK serta 65.5 peratus kepada peluang pekerjaan sekali gus bertindak sebagai sumber dan tulang belakang penting pada ekonomi negara.

Menurut Tee Yong, data terbaharu menunjukkan PKS di Korea Selatan menyumbang 37.5 peratus kepada jumlah eksport negara itu, malah angka itu jauh berbeza dengan PKS di Malaysia yang hanya menyumbang sekitar 17.6 peratus.