Menteri Perdagangan An­­tara­bangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ber­ka­ta, PKS tempatan misalnya banyak membeli barang secara borong di Indonesia dan Vietnam, seterusnya menjual semula produk itu di dalam negara.

Beliau yang mengakui modus operandi itu sebagai satu aktiviti dagangan yang bagus, walau bagaimanapun menyeru PKS untuk meningkatkan model perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.

Katanya, ini kerana pasaran bagi produk seperti tudung yang dibeli di Vietnam dan Bandung, Indonesia semakin hari semakin tepu dan sudah berlambak di pasaran.

“PKS harus keluar daripada perniagaan sedemikian dan beralih kepada perniagaan yang le­bih canggih seperti produk tekstil bernilai tinggi.

“PKS bumiputera juga harus memanfaatkan platform e-dagang selain meneroka pasaran se­rantau untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Explorasean di sini hari ini.

Forum anjuran Persatuan Pe­dagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Menara Matrade dihadiri lebih 200 peserta.

Antara inisiatif kerajaan untuk mengembangkan sektor e-dagang di negara ini adalah melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang membuka peluang kepada 1,500 usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, melalui program itu, usahawan akan menjadi berdaya saing terutama bagi bidang perusahaan, perdagangan, industri dan pembuatan.

“Para peserta akan dapat me­ngenal pasti peluang perniagaan di negara-negara ASEAN sete­rusnya membantu mempercepat pertumbuhan ekonomi,” katanya.