Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh enam bulan ini, pelbagai kursus dan seminar dijalankan di seluruh negara bagi memastikan usahawan dan pengilang PKS mendapat maklumat bagi menghadapi ledakan Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan PKS khususnya yang terlibat dalam sektor perkilangan tidak ketinggalan berbanding rakan mereka dalam industri yang lebih besar.

“Perkembangan perindustrian dunia bermula dengan Revolusi Industri 1.0 merujuk kebergantungan kepada wap bagi menggerakkan jentera dan kemudiannya kuasa elektrik atau Revolusi Industri 2.0 sebelum datangnya era digital iaitu internet dan komputer dikenali Revolusi Industri 3.0.

“Dalam setahun dua ini pula dunia mula memasuki zaman Revolusi Industri 4.0 yang mencakupi peningkatan automasi dan robotik, internet pelbagai benda (IPB), analisis dan big data, integrasi sistem, cloud computing dan lain-lain lagi.

“Negara akan rugi jika kita sebagai pengilang PKS ketinggalan kerana tidak dapat berdaya saing, kita perlu mengaplikasi teknologi pintar dalam semua peringkat termasuk kilang, logistik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kilang Wau Tradisi Enterprise iaitu sebuah kilang pengeluar rempah ratus di Kompleks Premis Keusahawanan SME Bank di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kelantan, Nik Mohd Fahim Muhaimin; Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nik Faizal Nik Ahmad dan Pengarah Urusan Wau Tradisi Enterprise, Mohd Anazim Adnan.

Ahmad dalam pada itu memberitahu, sebanyak 5.3 peratus atau 47,698 daripada 907,065 PKS di negara ini terlibat dalam sektor pembuatan dan perkilangan manakala majoriti iaitu 89.2 peratus PKS dalam sektor perkhidmatan.

Beliau turut memuji usahawan Melayu negeri ini kerana lebih berani menceburi dunia perniagaan berbanding penduduk negeri lain.

“Keistimewaan orang Melayu Kelantan berbanding negeri lain adalah mereka berniaga sejak 1960-an lagi dan perusahaan itu dikekalkan generasi seterusnya sehingga hari ini. Kita berharap usaha membina keluarga usahawan sebegini wujud di kalangan bumiputera seluruh negara terutama orang Melayu supaya akhirnya bangsa kita bukan lagi menjadi bangsa makan gaji tetapi bangsa usahawan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya akan merancang mengadakan satu seminar mengenai Revolusi Industri 4.0 di Kota Bharu pada November ini khusus untuk usahawan PKS dari negeri Pantai Timur dan bahagian utara Johor.