Menteri Muda Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais berkata, para usahawan tidak mempunyai pilihan lain bagi meningkatkan keupayaan dengan cabaran baharu dalam dunia tanpa sempadan.

Katanya, daripada 50,000 perniagaan berdaftar majoriti merupakan PKS yang mana hampir 80 peratus bersaiz mikro.

"Justeru itu, sekiranya mutu produk baik kita dapat memasarkannya bukan hanya dalam negara malah peringkat global.

"Sebagai seorang usahawan, ilmu teknologi komunikasi maklumat (ICT) perlu dipelajari seperti aplikasi WhatsApp, Instagram dan lain-lain yang kini mempengaruhi kehidupan harian manusia termasuk cara berfikir dan membuat keputusan," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Transformasi PKS 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) negeri, Tengku Azmi Tengku Majid.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MPC juga menyediakan geran berjumlah RM625,000 bagi pembangunan sistem kepada perniagaan di sini pada tahun ini.

"Saya berharap penerima geran ini akan menggunakan sebaiknya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Kerjasama semua agensi kerajaan yang berkaitan perlu dilakukan bagi menghasilkan impak melahirkan usahawan yang berdaya saing dan kompetitif," jelasnya. - UTUSAN ONLINE