Walaupun pendapatannya ketika itu agak lumayan, dia tidak mudah berpuas hati dan tidak mahu kekal di takuk lama apabila menyedari potensi besar dalam bidang perniagaan yang mampu mengubah masa depannya.

Tidak menunggu lama, Aziati membuka syarikat sendiri, Aziati Enterprise dan memohon pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi mengembangkan lagi perniagaan membekalkan langsir, cadar dan kusyen.

Menurutnya, melalui dua pin­jaman Mara berjumlah RM15,000, perniagaannya kini berkembang maju sehingga mampu merekodkan keuntu­ngan kasar sebanyak RM15,000 ke RM20,000 sebulan.

Katanya, jumlah itu sangat berbeza berbanding semasa dia menjalankan perniagaan di rumah iaitu sekitar RM5,000 sebulan sahaja.

“Pada mulanya saya membuat pinjaman Mara sebanyak RM5,000 sebagai modal pusi­ngan sebelum membuat pinjaman sete­rusnya sebanyak RM10,000 semasa membuka kedai di Dataran Amanjaya Sauk yang kini dijadikan sebagai kilang.

“Selain memiliki kedai sendiri, saya juga menyewa sebuah kedai di bangunan Arked Mara Kuala Kangsar yang dijadikan ruang pameran. Kini saya mempunyai lapan pekerja, dua daripadanya bekerja dari rumah,” katanya.

Menurut Aziati, pinjaman da­ripada Mara bukan sahaja membantunya daripada aspek kewangan bahkan mengubah perniagaannya secara keseluruhan.

Katanya, menerusi kursus dan seminar yang dianjurkan oleh Mara, dia mendapat pelbagai maklumat tentang cara pengurusan perniagaan yang baik.

“Saya seorang peniaga di ba­wah bimbingan Mara dan selalu mengikuti kursus anjuran Mara. Walaupun memegang status orang kelainan upaya (OKU), kekurangan itu tidak menjadi penghalang untuk saya,” katanya.