Bengkel tersebut dianjurkan UMNO Bahagian Pusat Bandar Setiawangsa dan dikendalikan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (Pimpin) yang ditauliahkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tenaga pengajar, Mohd. Zulfitri Mohd. Basir berkata, bengkel tersebut diadakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mempromosikan perniagaan melalui cara moden.

“Usahawan semakin bertambah dan persaingan juga meningkat jadi mereka perlu bijak dalam mempromosikan perniagaan termasuk menggunakan teknik yang betul.

“Kini zaman moden, kebanyakan pengguna menghabiskan masa melayari laman sosial dan usahawan boleh menarik pelanggan dengan mempromosikan perniagaan di laman sesawang,” katanya ketika ditemui dalam Bengkel e-usahawan di Pusat Internet 1Malaysia Perumahan Awam Desa Rejang, Setiawangsa di sini.

Dalam majlis tersebut, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique turut meluangkan masa melawat bengkel tersebut.

Mohd. Zulfitri berkata, peserta turut diajar cara untuk menulis status yang boleh menarik minat pelanggan termasuk teknik penceritaan yang lebih berkesan.

“Bengkel ini mengajar tentang penggunaan Facebook, Instagram, cara membuat laman sesawang, pengguna WhatsApp dalam perniagaan dan asas perniagaan secara digital.

“Berniaga ini kena ada teknik dan ilmu agar pelanggan tertarik dengan produk yang dipasarkan termasuk cara untuk berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memantau perkembangan peserta untuk memastikan mereka berjaya melaksanakan apa yang dipelajari dalam perniagaan.