Namun, siapa sangka bertitik tolak daripada permintaan tersebut, Noraini atau lebih dikenali dengan nama Mak Nani kini me­rupakan seorang usahawan yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana menghasilkan pes masakan tradisi Johor.

Bermula tahun lalu dengan hanya mampu menghasilkan 50 pek sehari, kini Mak Nani mengeluarkan 150 hingga 200 pek sehari dengan 15 jenis pes antaranya pes bandung, pes soto, pes asam pe­das, pes sup merah, pes beriani dan pes botok-botok.

Lebih menarik, pes dihasilkan Mak Nani itu bukan sahaja bebas daripada sebarang bahan pengawet, malah ia juga mudah disediakan hanya dengan mendidihkan pes ke dalam kuali dan masukkan bahan seperti ikan atau sayur tanpa perlu menumis.

Mudah disediakan dan tidak mengambil masa yang lama menjadikan pes Mak Nani cukup popular terutama dalam kalangan guru dan mereka yang tidak mempunyai masa untuk memasak dan mahukan makanan yang mudah dihidangkan selain enak di makan.

Menurut Mak Nani, dia mengu­bah resipi turun temurun Johor keluarganya kepada produk pes dengan memastikan produknya bebas daripada bahan pengawet tetapi masih mampu mengekalkan resipi yang sama melalui beberapa proses sebelum dibungkus.

“Saya memang gemar memasak kerana ini merupakan sebahagian daripada hobi saya dan ia bermula apabila menantu pulang ke sini dia akan meminta saya menyediakan beberapa jenis masakan untuk disejuk beku dan dibawa pulang ke Kuala Lumpur

“Daripada situ, timbul idea untuk mengubah resipi keluarga ini kepada produk pes. Selain untuk mengembangkan diri dalam sektor keusahawanan, saya berharap dapat berkongsi keenakan resipi keluarga bersama orang lain.

“Saya juga berharap penghasilan produk pes saya ini dapat membantu memudahkan urusan memasak terutama kepada mereka yang mempunyai jadual harian yang padat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mak Nani memberitahu, dia tidak berkompromi dengan produk yang dihasilkan sekali gus mahu keaslian rasanya kekal dan bagi tujuan itu, dia memastikan setiap bahan pes keluarannya dimasak pada suhu 80 hingga 90 darjah Celsius.

Katanya, proses tersebut mengambil masa lapan jam melibatkan proses adunan serta penyejukan sebelum produk pes dibungkus.

Tambah ibu kepada enam anak itu, buat masa ini, dia hanya menjalankan perniagaan dalam talian menerusi laman sosial Facebook atau menerusi kumpulan-kumpulan WhatsApp membabitkan anak-anak dan menantunya.

Menceritakan usahanya menghasilkan produk pes itu, Mak Nani berkata, dia berterima kasih kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memberikan bantuan mesin pembungkusan berpastur bagi membantu merancakkan lagi keluaran produknya.

“Jika dahulu saya terpaksa menahan suhu setinggi 80 hingga 90 darjah celsius selama lapan jam demi menghasilkan maksimum 50 bungkusan pes setiap hari dan bekerja dekat dengan kuali panas dan tong gas sepanjang proses penghasilan pes.

“Ia melibatkan proses memasak, mengadun, pembungkusan, menimbang dan penyejukan untuk memastikan pes yang dihasilkan tahan lebih lama serta rasa yang asli, lapan jam sehari masa yang saya ambil dan berada di kawasan suhu tinggi dan panas.

“Kalau tidak tahan panas, saya berhenti seketika dan ia juga me­rupakan faktor utama pengeluaran pes saya minimum,” katanya dan memberitahu dengan pemberian mesin itu kini dia hanya mengambil masa 90 minit melibatkan proses pembungkusan dan timbangan.

Mesin pembungkusan pes berpastur itu dibangunkan Jabatan Kawalan dan Kejuruteraan Mekatronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM dan menurut ketua projeknya, Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin, projek tersebut dibangunkan dengan geran sebanyak RM50,000.

Tambahnya, menerusi geran yang diberikan Kementerian Pendidikan Tinggi itu, sebanyak RM20,000 disalurkan kepada kos komponen manakala selebihnya untuk penyelidikan dan kajian yang mengambil masa selama enam bulan menyiapkan mesin itu.

Mesin tersebut dibangunkan dengan konsep pendidihan berganda dengan kapasiti tangki sebanyak 50 kilogram dengan suhu maksimum 90 darjah celsius digabungkan dengan kawalan timbang­an automatik yang boleh dilaraskan,” katanya.