Pengasas dan Pengarah Urusan Tropical Bioessence Sdn Bhd (TBESB),
MOHD. KHAIRIL SAID berbangga kerana produk keluarannya, Sutra semakin
mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 2013. – S2/MOHD. AZIM ABD.
RAHMAN

Tekad untuk menghasilkan produk ringkas tetapi mempunyai pelbagai manfaat, usahawan berusia 40 tahun itu menjadikan perjalanannya ke tempat kerja atau penerbangan yang pernah dinaikinya sebagai langkah mencari penawar masalah yang mungkin sebelum ini dianggap remeh.

“Setiap hari memandu ke tempat kerja, pasti ada dalam kalangan kita terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan penat, selain jalan sesak. Kesemua faktor itu memberikan tekanan kepada diri. Keadaan itu memberi idea kepada saya menghasilkan produk aroma terapi yang boleh digunakan dalam kenderaan bagi melancarkan pernafasan dan mengubah mood kita.

“Begitu juga ketika menaiki penerbangan yang jauh, ada penumpang di sebelah kita kuat berdengkur menyebabkan kita berasa sukar untuk tidur. Justeru, saya mendapat idea menghasilkan produk yang dapat mengurangkan dengkuran serta aroma terapi yang boleh membantu kita tidur nyenyak,” katanya ketika ditemui S2 di kilang TBESB di Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

Beroperasi sejak 2012, Mohd. Khairil berkata, beliau kini boleh berbangga kerana produk Sutra keluarannya sudah mempunyai 400 pengedar aktif di seluruh negara. Selain itu, beliau juga memiliki dua buah kedai, Sutra Shop di Seremban, Negeri Sembilan dan Shah Alam, Selangor, selain bakal membuka sebuah lagi cawangan di Pinggiran Subang pada April ini.

TBESB yang memiliki sebuah syarikat beroperasi di Singapura sejak 2010 telah menembusi pasaran Indonesia, Singapura, Brunei, Emiriyah Arab Bersatu, Pakistan, Belanda,Turki, Australia, Perancis dan Uzbekistan mulai tahun lalu.

Katanya, peruntukan sebanyak RM100,000 diperoleh daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk membantunya menjalankan perniagaan dalam talian itu.

Menurut Mohd. Khairil, tiga kategori produk Sutra keluaran syarikatnya adalah aroma terapi, wangian dan produk kesejahteraan (wellness) berstatus BioNexus Company di bawah kelolaan BiotechCorp dan SME Corp Malaysia.

“Produk aroma terapi Sutra berasaskan terapi bau-bauan. Kami telah menghasilkan sebanyak 48 jenis produk, antaranya minyak intan, semburan pelbagai guna, semburan bantal, gel sabun mandian dan cucian wanita.

“Bagi produk wangian pula, kami menawarkan empat jenis wangian iaitu EDP (Eau de Perfume) dan wangian tanpa alkohol untuk lelaki dan wanita yang dihasilkan daripada gabungan bunga dan buah.

“Manakala produk kesejahteraan (wellness) pula dihasilkan untuk kegunaan kesihatan luar. Produk ini berasaskan bahan seperti aloe vera, buah Melaka, vanila, buah tin dan daun gelenggang bagi menghasilkan syampu Kasia untuk wanita bertudung,” jelasnya.

Mohd. Khairil memberitahu, semua jenis produk yang dihasilkan itu berdasarkan kepada permasalahan yang dihadapi kebanyakan orang tetapi kurang diberi perhatian seperti resdung, antidengkur serta pewangi sejadah.

Katanya, dia gemar menghasilkan produk iaitu idea penghasilannya diperoleh ketika bertemu dengan pelanggan. Dalam pertemuan itu, pelanggan akan memberitahu masalah yang mereka alami dan kemudian memintanya menghasilkan produk tersebut,” katanya.

Bersesuaian dengan moto produk Sutra iaitu Your Scents of Life atau wangian kehidupan anda, maka Mohd. Khairil merasakan tidak salah jika beliau mencipta produk yang dapat mengimbangi minda, emosi dan fizikal pengguna.

Anak jati Melaka, kelahiran Bukit Katil itu bersyukur kerana segala ilmu yang dipelajari ketika menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang Kimia Marin dapat digunakannya semasa bergelar Pegawai Penyelidik Kimia Hasilan Semula Jadi di Institut Bioteknologi Melaka, seterusnya menghasilkan produk sendiri.

Katanya, selain mempunyai rangkaian pengedar aktif, TBESB turut menjalankan jualan secara dalam talian dan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila sejumlah 40 peratus daripada jualan diperoleh menerusi kaedah tersebut yang dilaksanakan sejak 2012 dengan anggaran pelanggan kira-kira 10,000 orang.

“Selain jualan dalam talian, TBESB turut menjalankan perniagaan menerusi promosi jualan secara langsung menerusi pengedar kami di seluruh negara,” katanya.