Pengarah FAMA negeri Johor, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, langkah itu selari dengan matlamat penubuhan ABMS yang bertujuan untuk membantu mempromosikan produk tempatan ke pasaran Singapura.

Katanya, selain berfungsi sebagai pusat jualan dan pusat promosi, ABMS turut berperanan sebagai pusat pengedaran produk buatan Malaysia bukan sahaja ke Singapura, tetapi juga ke negara lain.

“Tahun lalu, ABMS berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM2.35 juta, manakala sasaran tahun ini adalah sebanyak RM3.2 juta.

“Bagi mencapai sasaran itu, ABMS yang terletak di Sultan Gate, Singapura turut berfungsi sebagai tapak keraian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke ABMS, di sini semalam.

Tambah Zainal Abidin, FAMA akan mengambil langkah proaktif dalam memastikan usaha menembusi pasaran Singapura diperluas.

“Antara kejayaan yang dicapai adalah menempatkan produk di Malaysia Halal Centre, Big Box, Jurong, Pasar Raya Mustaffa Centre serta tiga rangkaian Pasar Raya Cold Storage,” ujarnya.

FAMA turut merancang me­ngadakan beberapa siri jelajah di seluruh negara bagi menarik lebih ramai pengusaha IKS untuk terlibat dalam program mereka di ABMS pada masa depan.