Bangkit daripada kegagalan itu, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini terus berusaha. Kali ini, percaturan kedua dalam dunia perniagaan membolehkan kerepek yang diinovasi daripada resipi kek brownies mendapat sambutan baik sehingga menjadi tular di media sosial selepas dilancarkan pada Oktober 2016.

Nor Azila yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Azila Isrul Enterprise tidak menyangka kerepek yang dipasarkan di bawah jenama Bronis mendapat sambutan luar biasa terutama dalam kalangan anak muda sehingga terjual lebih 25,000 botol sebulan ketika ini.

“Perniagaan kuih sejuk beku secara dalam talian hanya mampu bertahan dua tahun. Ini kerana sifat kuih sejuk beku yang mudah rosak ketika proses penghantaran. Ekoran itu, saya menutup kedai yang dijadikan tempat menghasilkan produk sejuk beku.

“Walaupun mempunyai ijazah dalam jurusan komunikasi, saya tidak berminat untuk bekerja di bawah orang. Jadi, saya cuba mencari peluang perniagaan lain secara dalam talian.

“Saya kemudian cuba menjual brownies secara online. Namun bisnes ini juga gagal kerana masalah jangka hayat brownies yang tidak tahan lama,” katanya ketika ditemui S2 di Jitra, Kubang Pasu, Kedah baru-baru ini.

Dalam usaha mencari jalan untuk memanjangkan tempoh hayat brownies yang dijual, Nor Azila mendapat idea untuk menghasilkan kerepek dengan menggunakan resipi brownies.

Inovasi yang dilakukan dalam tempoh dua bulan akhirnya membuahkan hasil. Tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, ibu kepada Aisyah Mohd. Isrul Nisyam menyusun strategi pemasaran untuk menarik perhatian orang ramai.

“Belajar daripada kegagalan perniagaan kuih sejuk beku yang lalu, saya mula membuat kajian pasaran kerana sasaran saya adalah golongan muda yang merupakan pengguna tegar di media sosial, khususnya Facebook dan Instagram.

“Selain itu, saya turut menitik beratkan soal pembungkusan, jenama dan logo bagi menarik perhatian pengguna media sosial. Selepas yakin dengan strategi pemasaran untuk produk ini, baru saya buat promosi di media sosial,” ujarnya.

Menurut Nor Azila, produk yang dihasilkan itu menjadi tular di media sosial sehingga Kerepek Bronis yang dikeluarkan syarikatnya terjual sebanyak 1,000 botol dalam tempoh sebulan ketika mula diperkenalkan, sebelum meningkat sehingga 25 kali ganda pada masa kini.

“Pada permulaan, saya hanya buat Kerepek Bronis dengan bantuan suami. Dalam sehari, kami dapat menghasilkan 60 botol sahaja. Apabila Kerepek Bronis menjadi tular di media sosial, saya mula mengambil pekerja untuk menambah jumlah produk yang dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Ketika ini, saya mempunyai kira-kira 20 kakitangan termasuk staf pemasaran. Malah saya juga mempunyai kedai khusus untuk membuat kerepek berkenaan bagi memenuhi permintaan yang kini mencecah 25,000 botol sebulan,” katanya.

Nor Azila memberitahu, dia kini mempunyai 20 rakan kongsi strategik (stokis) dengan anggaran ejen seramai 500 orang di seluruh negara.

“Selepas Kerepek Bronis dilancarkan dan mendapat sambutan, saya menerima banyak permintaan untuk menjadi stokis dan ejen produk Bronis. Jadi, saya mula buka peluang kepada orang ramai untuk menjadi rakan kongsi strategik.

“Daripada menjual secara runcit kepada pelanggan, kini saya hanya menjual kepada rakan kongsi strategik Bronis yang mana cara itu membolehkan produk tersebar lebih pantas di seluruh negara,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk Bronis, boleh melayari www.bronis.com.my atau ikuti laman Facebook milik Bronis HQ.