Namun berkat kecekalannya memperkenalkan produknya itu, permintaan kini kian me­ningkat dalam tempoh singkat dia mampu menjual sehingga 2,000 ekor ayam salai dengan harga RM12 seekor.

Samsudin Osman, 40, berkata, permintaan terhadap ayam sa­lai akan meningkat sehingga 4,000 ekor sebulan pada bulan puasa dan musim cuti sekolah kerana ramai yang memilih untuk mengadakan majlis terma­suk perkahwinan ketika itu.

“Sebelum ini saya menoreh ge­tah, selepas itu saya menjaja ikan pula di sekitar Labis beberapa tahun sebelum mengambil keputusan memulakan usaha menjual ayam salai pada awal tahun 2015.

“Saya bersyukur usaha ini semakin berkembang dan mampu memberi pulangan lumayan walaupun pada awalnya saya agak sukar untuk memasarkan produk ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dia nekad menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 sebagai modal untuk memulakan usahanya itu dan semua kerja termasuk mencari kayu api, membersihkan ayam sehingga menyalai dan menghantar pesanan dilakukan sendiri ketika itu.

Menurutnya, ketika ini tugasnya semakin mudah apabila sudah mampu mengupah empat pekerja terdiri daripada belia setempat bagi membantunya menjalankan kerja-kerja menyalai ayam yang memakan masa kira-kira empat jam.

Bapa kepada tiga orang anak berusia antara tiga bulan hingga 13 tahun itu memberitahu, pasaran ayam salainya kini telah mula mendapat permintaan di sekitar Negeri Sembilan serta Melaka dan ketika ini kebanyakan pelanggan adalah peniaga yang membeli produknya secara pukal.

“Walaupun saya sudah membekalkan ayam salai kepada peniaga yang membeli secara pukal, namun saya masih mene­rima tempahan daripada penduduk setempat dan menjual secara runcit kepada mereka yang ingin mendapatkan bekalan untuk kegunaan sendiri.

“Sebenarnya tiada sebarang resepi khas saya gunakan untuk membuat ayam salai ini, hanya menggunakan ayam tua atau ayam perenggang 'pencen' yang digaul dengan serbuk kunyit dan garam sebelum disalai menggunakan bara kayu api,” katanya.

Menurutnya, proses membuat ayam salai tidak semudah yang disangka kerana memerlukan masa yang lama, iaitu kira-kira empat jam dan api yang digunakan tidak boleh terlalu marak bagi memastikan ayam tidak hanggus.

Katanya, selain boleh dimasak dengan pelbagai resepi tradisio­nal Melayu seperti masak lemak cili api, rendang serta kari, ayam salai juga boleh disimpan lama sehingga tiga bulan tanpa me­nga­lami sebarang kerosakan atau berubah rasa ketika dihidangkan.

“Setakat ini saya belum membuat label atau pembungkusan terhadap produk ini dan sedang berusaha ke arah itu bagi memastikannya dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih jauh.

“Saya juga tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain seperti menggunakan gas atau ketuhar untuk menyalai ayam ini kerana hasil menggunakan bara kayu api lebih bermutu dan enak berbanding kaedah mo­den,” katanya.

Bagi mereka yang berminat membuat tempahan ayam salai untuk majlis perkahwinan atau ken­duri boleh menghubungnya menerusi talian 011-33086685.