Pemiliknya, Noor Arjuna Abdul Ghani berkata, Pen Sugi merupakan produk ketiga yang dihasilkan syarikatnya pada Mei lalu bertujuan untuk menerapkan amalan bersugi secara mo­den dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Katanya, produk tersebut direka dengan bentuk seperti pen dan potongan kayu sugi yang diproses untuk memudahkan pengguna menggosok gigi di mana sahaja mereka berada.

“Produk ini boleh diibaratkan seperti berus gigi mudah alih namun kita menggunakan kayu sugi atau siwak sebagai komponen utama untuk membersihkan gigi.

“Jika menggunakan kayu sugi biasa, pengguna perlu mengasah, merendam dan menggigit bahagian hujung kayu sugi sebelum menggunakannya. Namun, dengan Pen Sugi ini, pengguna boleh menggigit dan terus membersihkan gigi dengan pantas dan mudah,” katanya ketika ditemui di gerai pamerannya sempena KUD 2017 hari ini.

Noor Arjuna berkata, produk­nya itu dilancarkan di Ekspo Astana, Kazakhstan pada Julai lalu dan telah memenangi Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2017 kategori akar umbi daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi awal Oktober lepas.

Katanya, setakat ini, sebanyak 5,000 pek sebulan Pen Sugi terjual di seluruh negara sejak ia dilancarkan.

“Setakat ini, kita sedang melakukan perbincangan untuk mengeksport Pen Sugi ke luar negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Sri Lanka, Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Kita jangkakan untuk menjual lebih 100,000 pek Pen Sugi sebulan sama ada di dalam dan luar negara bermula awal tahun hadapan dan yakin produk ini akan terus mendapat sambutan dari semasa ke semasa,” katanya.