Abdul Latif Abu Seman
Abdul Latif Abu Seman

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, lima PBT te­lah melaksanakan pro­gram berkenaan ia­itu di Pahang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata, pe­lak­sanaan itu membu­ka ruang lebih luas ke­pada aktiviti perniagaan dalam kalangan masyarakat untuk menambah pendapatan se­kali gus menyumbang kepada pertambahan ekonomi negara.

“Peraturan terda­hu­lu banyak menye­kat peluang pe­niaga kecil namun menerusi program ini kita dapat mempercepatkan proses kelulusan, menambah baik prosedur perniagaan serta mengurangkan kos penyampaian perkhidmatan.

“Diharap usaha ini dapat menyeragam­kan dan mengintegrasikan lesen-lesen perniagaan untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini seterusnya memacu pembangunan ekonomi selaras dengan matlamat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemodenan Lesen Perniagaan PBT di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Bahagian Produktiviti dan Daya Saing MPC, Dr. Daud Talib.

Abdul Latif berkata, dalam RMK-11, kerajaan memberi fo­kus untuk mempertingkatkan pe­­­n­yam­­­­paian perkhidmatan dengan menguta­makan rakyat dan memanfaatkan PBT untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diharap dapat membantu melaksanakan dua bidang fokus dan teras yang dinyatakan di da­lam RMK-11 tersebut.

Dalam pada itu katanya, beliau dimaklumkan bahawa Pahang antara negeri terawal mene­rima dan melaksanakan program Pemodenan Lesen Perniagaan.

“Saya berharap melalui konvensyen ini, setiap PBT dapat berkongsi impak yang diperoleh supaya amalan baik yang dilaksanakan dapat menjadi penanda aras kepada PBT lain di negeri ini.

“Bagi MPC, kita sentiasa meng­alu-alukan kerjasama seperti ini supaya penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat ditingkatkan secara berterusan,” katanya.