Bukan itu sahaja, ada yang langsung tidak mempunyai aset tetap, simpanan tunai tidak mencukupi dan ekuiti tidak meningkat. Menjalankan perniagaan berpuluh tahun, namun masih tetap di takuk lama.

Paling malang apabila ada peniaga diisytiharkan muflis disebabkan kegagalan mereka melunaskan pinjaman sehingga hutang bertambah.

Melihat situasi yang membelenggu segelintir ahli perniagaan, Pejuang Usahawan tampil menawarkan perkhidmatan dalam bidang perakaunan, pelaburan dan pengurusan kewangan kepada mana-mana syarikat sama ada yang baru memulakan perniagaan mahupun yang sudah lama beroperasi.

Menawarkan laporan pengauditan yang dilaksanakan dengan teliti dan berkualiti seiring dengan prinsip integriti, Pejuang Usahawan turut memberi bimbingan kepada pemilik syarikat dalam soal pelaburan hartanah dan pengurusan kewangan yang cekap.

“Sesetengah peniaga tidak arif menguruskan akaun syarikat menyebabkan sukar untuk menunjukkan kedudukan kewangan sebenar. Ada yang mempunyai akauntan, namun tidak mahir dalam selok-belok pelaburan dan ini membataskan perkembangan syarikat.

“Melalui Pejuang Usahawan yang ditubuhkan pada 2015, perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai hal berkaitan pengurusan kewangan, perakaunan, pelaburan dan pendaftaran syarikat.

“Kami bukan sahaja ‘mencantikkan’ profil kewangan menerusi pengauditan, pengurusan akaun dan cukai, malah Pejuang Usahawan juga menjadi platform bagi membantu peniaga atau individu mengembangkan aset mereka menerusi pelaburan hartanah. Kami juga menawarkan perkhidmatan membuat kertas kerja bagi permohonan pinjaman dan pengurusan pendaftaran syarikat,” kata Pengarahnya, Zurianee Zabidi kepada S2.

Dalam komponen aliran tunai, katanya, sesebuah perniagaan tidak hanya bergantung kepada operasi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aktiviti pelaburan dan pembiayaan.

“Seorang peniaga tidak seharusnya bergantung kepada aktiviti operasi sepenuhnya untuk menghasilkan wang kerana kita tidak akan tahu apa akan jadi pada masa akan datang.

“Jika berlaku apa-apa kepada pemilik perniagaan, kebarangkalian operasi akan terjejas. Jika permintaan produk mengalami penurunan, sudah tentu syarikat tidak dapat menjana kewangan.

“Justeru, kita perlu mempunyai back up plan dengan menjalankan aktiviti pelaburan dan pembiayaan bagi membolehkan perniagaan dapat diteruskan meskipun pemiliknya sudah tiada atau permintaan produk berkurangan.

“Maknanya peniaga bukan sahaja memperoleh aliran tunai melalui operasi tetapi merangkumi aktiviti pelaburan dan pembiayaan. Dengan adanya penambahan nilai aset, maka nilai syarikat juga dapat ditingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut suaminya yang merupakan pengasas Pejuang Usahawan, Ahmad Zairul, perkembangan teknologi internet pada masa kini banyak membantu mereka meluaskan rangkaian perniagaan.

“Kalau dahulu perniagaan hanya disampaikan melalui mulut ke mulut dan hubungan perniagaan dengan rakan-rakan yang lain. Namun, dengan adanya pelbagai medium yang disediakan di Internet membolehkan kami mengembangkan lagi rangkaian perniagaan kami dengan lebih meluas,” katanya.

Adat berniaga pasti ada cabaran yang perlu ditempuh. Begitu juga dengan Ahmad. Dia bukan sahaja berdepan dengan bermacam-macam ragam jenis pelanggan, malah perlu memahami hal ehwal dan masalah berkaitan kewangan mereka.

“Setiap pelanggan hadir dengan permasalahan tersendiri. Jadi, kami perlu mendapatkan segala maklumat dan pengkalan data berkaitan kewangan syarikat sebelum menganalisis dengan lebih terperinci.

“Setakat ini, kami sudah membantu 500 syarikat dan individu untuk menguruskan kewangan dan mengembangkan aset mereka. Kami bukan sahaja membantu syarikat yang melibatkan kewangan jutaan ringgit malah, turut menguruskan kewangan pelanggan dalam lingkungan puluhan ribu.

“Di sebalik kejayaan menguruskan syarikat ini, kami sebenarnya banyak dibantu mentor hartanah dan kewangan kami iaitu Ahyat Ishak dan pengasas Ieza Yusof Consultancy (IYCSB), Ieza Yusof,” katanya.

Info