Semalam merupakan detik yang amat menggembirakan bagi dua sahabat yang berkongsi minat yang sama apabila restoran yang diusahakan, Pak Jen Gulai Panas Langkawi dibuka secara rasminya di tingkat empat, Quill City Mall, dekat sini.

Turut berkongsi minat yang sama iaitu suka memberi dan melihat orang menjamu selera, berbekalkan sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan, Shafwan dan Tan Jen tidak bergantung kepada bantuan modal atau insentif daripada mana-mana agensi atau institusi perbankan untuk memulakan perniagaan mereka.

Ketika ditemui wartawan Utusan Online usai majlis pembukaan rasmi Pak Jen Gulai Panas Langkawi, kedua-dua anak muda yang berasal dari Kedah begitu bersemangat apabila bercertia tentang detik permulaan restoran yang diusahakan bersama-sama.

“Rasa lapang di dada apabila restoran ini beroperasi dengan rasminya selepas kurang lebih tiga bulan kami memulakan perniagaan dan sememangnya kami mengharapkan apa yang dihidangkan di restoran kami ini bukan sahaja menepati selera pelanggan tetapi mereka yang berkunjung ke sini akan senitasa mengidamkan gulai panas original dari Kedah,” kata Safwan sambil disambut dengan anggukan kepala oleh Tan Jen.

Tidak seperti kebanyakan restoran yang menyajikan hidangan masakan Melayu, Pak Jen Gulai Panas Langkawi mempunyai keunikan yang tersendiri dalam menyediakan bukan sahaja makanan tetapi minuman.

Berinspirasikan rahsia dalam campuran air, kata Shafwan, pelanggan harus memesan minuman Cenang Ais, Coke Tarik dan Laici Mojito kerana rasanya sukar untuk digambarkan melalui kata-kata.

Bukan sahaja tiga minuman khusus ini dapat dinikmati di restoran ini tetapi juga penggemar teh akan dapat merasai perbezaan minuman tersebut berbanding dengan sajian teh atau teh tarik di restoran-restoran atau kedai-kedai makan yang lain termasuk pengusaha restoran mamak di sekitar Lembah Klang.

Tambah Safwan lagi, disebabkan hatinya sentiasa suka melihat orang makan, maka beliau dan Tan Jen memastikan setiap pelanggan yang melangkah masuk ke Pak Jen Gulai Panas Langkawi dapat makan di sini dengan membayar harga murah.

Sementara itu, Tan Jen pula berkata, terdapat empat chef yang ditugaskan menyediakan menu masakan Kedah termasuk gulai panas udang yang didemo oleh chef selebriti tanah air, Datuk Chef Ismail.

“Menu di sini memang pelbagai termasuk gulai panas udang. Selain itu, terdapat 70 jenis masakan yang dihidangkan pada kadar rotasi setiap hari. Ini bermakna, menu sentiasa berubah-ubah.

“Namun begitu, uniknya Pak Jen Gulai Panas Langkawi yang seuai dengan moto kam iaitu Anda Pasti Akan Mengidam Gulai Panas Ini!, kita menawarkan makanan yang esotik seperti Alaska King Crab.

“Pernah rasa keenakan Alaska King Crab yang digulai panas-panas? Jika tidak pernah mencubanya, hubungi kami untuk buat tempahan kerana sajian ini disediakan atas dasar tempahan pelanggan,” ujar Tan Jen.

Tan Jen juga memberitahu, penggemar arnab yang ingin mencuba masakan gulai panas, boleh menikmatinya di Pak Jen Gulai Panas Langkawi di samping menu itek golek yang enak.

Tidak perlu untuk berkata apa-apa lagi, #GULAIDREAMS di Pak Jen Gulai Panas Langkawi dibuka setiap hari dan tentunya ada hidangan nasi campur untuk mereka yang datang pada waktu tengah hari manakala, jelas Tan Jen, untuk makan malam pelanggan mereka adalah kalangan pelanggan yang makan malam bersama keluarga dalam kondisi yang nyaman. - UTUSAN ONLINE