Dengan modal permulaan sebanyak RM48,000, Othman yang ketika itu berusia 28 tahun dan isteri, Sarimawati Kasim mula membuka bengkel pertama mereka, Kampung Melayu Enterprise Sdn. Bhd., di Kampung Melayu Majidee, di sini pada 1992.

Othman mengakui pada permulaan hanya menyewa sebuah bengkel kecil dengan dibantu dua adik lelakinya yang mempunyai latar belakang dalam bidang automotif.

“Bagi saya bukan senang nak senang. Saya sendiri pernah melalui pelbagai rintangan dan kesukaran terutamanya ketika kegawatan ekonomi pada 1997 sehingga kami berfikir dua kali sama ada untuk meneruskan perniagaan ataupun berputus asa sahaja.

“Bukan itu sahaja, premis perniagaan kami pernah diberi notis singkat untuk keluar... bukan sekali tetapi dua kali. Malah kedai kami juga pernah disita kerana pemilik bangunan tidak pernah bayar cukai harta,” katanya ditemui di sini hari ini.

Pada awal perniagaan, dia pernah menjual semua barang berharga miliknya dan isteri bagi meneruskan kelangsu­ngan perniagaan, namun se­mua itu berbalas apabila perniagaan mereka terus bertahan hingga kini.

Selain itu, perkhidmatan berkualiti dan layanan mesra kepada pelanggan membuatkan perniagaan pasangan itu terus berkembang apabila dua lagi cawangan dibuka, iaitu Utama Tyre and Exhaust Enterprise di Bandar Baru Uda, di sini pada 1998 dan Bumi Tyre and Sport Rims Enterprise di Pusat Bandar Tampoi, di sini pada 2005.

Othman yang dibantu 23 pekerja sentiasa menghantar kakitangan mengikuti kursus kerana menyedari bidang automotif sentiasa berkembang dan perlu mempersiapkan pekerja dengan ilmu dan kemahiran secukupnya untuk memberi perkhidmatan berkualiti.

“Selain itu, saya dan isteri amat mementingkan hubungan baik dengan semua pekerja kerana tanpa mereka, tidak mungkin kita mampu bertahan hingga kini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) yang sentiasa prihatin dan membantu golongan usahawan bumiputera sepertinya.

“Pada 2011, kami ada membuat pinjaman sebanyak RM200,000 daripada PUNB untuk menaik taraf ketiga-tiga bengkel selain mengembangkan lagi perniagaaan sedia ada,” katanya sambil memberitahu hasrat untuk menambah cawangan sekiranya keadaan mengizinkan.

Beliau turut menyeru supaya usahawan bumiputera agar terus bekerja keras untuk maju seperti kaum lain dan menanam sifat tidak berputus asa sekiranya berdepan cabaran.