Enggan mengalah dan putus asa, Nurain menukar strategi iaitu fokus kepada hanya satu produk sahaja, bukan pelbagai produk sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Pilihan anak jati Kota Bharu, Kelantan itu ialah seluar palazzo untuk wanita.

Keputusan drastik tersebut ternyata tepat apabila dalam tempoh setahun, perniagaan Nurain bertambah kukuh dengan hasil jualan lumayan sehingga mencecah RM50,000 sebulan.

Menurut Nurain, dia memilih palazzo kerana seluar tersebut dilihat tidak lapuk ditelan zaman dan sememangnya diminati ramai golongan wanita terutama belia.

“Sebelum membuat keputusan memilih produk apa yang boleh saya ketengahkan, saya melakukan pemerhatian terlebih dahulu. Saya dapati seluar palazzo mempunyai potensi kerana permintaannya ada setiap masa, bukan mengikut trend terkini.

“Kalau pakaian lain kebiasaannya mengikut trend dan trend pula kebiasaannya pantas bergerak. Palazzo pula kekal menjadi pilihan wanita tidak mengira musim,” katanya.

Nurain yang merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Kulim, Kedah berkata, apabila perniagaan dalam taliannya berkembang, sambutan diterima amat menggalakkan sehingga dia sering berdepan kekurangan stok.

“Dalam seminggu, saya mampu menjual 300 hingga 400 helai seluar yang dijual pada harga RM38 sehelai.

“Permintaan terhadap seluar yang saya tempah terus dari sebuah kilang di Thailand semakin meningkat hari demi hari, namun kekangan peraturan antarabangsa menyebabkan saya tidak dapat menambah bilangannya.

“Bagi menyelesaikan masalah kekurangan stok, saya menjalinkan kerjasama dengan sebuah kilang lain di Melaka dan alhamdulillah setakat ini, permintaan dan penawaran adalah setara,” katanya.

Selain kekurangan stok, Nurain mengakui tidak menang tangan mengendalikan ratusan tempahan yang diterima dari seluruh negara serta negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Sehubungan itu, dia membuat keputusan menggunakan perkhidmatan ejen atau dropship sebagai wakil atau orang tengah untuk berurusan dengan pelanggan.

“Setakat ini, saya sudah ada 80 ejen di seluruh negara dan rata-rata mereka yang berniaga secara sambilan ini memperoleh pendapatan RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan,” ujarnya

Ditanya pahit maung dialami sepanjang menceburi perniagaan dalam talian, Nurain memberitahu, sebagaimana usahawan lain, dia sudah beberapa kali hampir ‘tersungkur’ kerana pelbagai masalah termasuk pernah ditipu pelanggan dan pembekal.

“Nasihat saya jika mahu berjaya, jangan malas menuntut ilmu. Saya sendiri pernah beberapa kali mengikuti bengkel bisnes dalam talian berbayar semata-mata mahu mendalami selok-belok dunia tersebut dan media sosial,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sebarang maklumat lanjut mengenai palazzo, boleh layari laman sosial Nurain iaitu akaun Instagram these7enstore.