Namun, disebabkan minat, perasaan bimbang dan kurang yakin ditolak ke tepi. Dia kemudian memberanikan diri membuka gerai menjual nasi ayam di sebuah kedai makan yang baru dibuka di Pusat Komersial i-Comm Square, Jalan Pending di Kuching pada 20 April tahun sama.

Berbekalkan minat memasak tanpa pernah ada pengalaman berniaga, bekas wartawan Harian Metro itu bersyukur apabila gerai nasi ayam ‘sambal ngesit’ yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan termasuk mengumpul pelanggan setia dalam tempoh singkat.

Disangka panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitu juga dengan nasib Abdul Rahman apabila terpaksa menutup gerainya setelah kira-kira setahun beroperasi kerana pemilik kedai makan yang disewa mahu menjual premis berkenaan.

Ketiadaan gerai menyebabkan Abdul Rahman binggung seketika memikirkan nasib diri yang hilang semula sumber pendapatan. Namun, dia enggan berputus asa lalu mendapat idea mengusahakan perniagaan penghantaran kotak makanan tengah hari (COD) secara dalam talian menggunakan tema Uncle's Man Kitchen.

“Saya membuat keputusan mengusahakan perniagaan COD kerana tidak perlu membuka dan menyewa gerai. Kebetulan ramai pelanggan setia mencari saya kerana nasi ayam sambal ‘ngesit’ yang dianggap istimewa iaitu sambal cicahnya dibuat menggunakan cili tempatan dikenali cabik geronong yang amat pedas tetapi enak,” katanya kepada S2.

Graduan Kajian Antarabangsa (Ekonomi dan Perniagaan) dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu memberitahu, selain pelanggan setia yang dikenali semasa berniaga di gerai, dia bernasib baik kerana mempunyai rakan wartawan, kakitangan kerajaan dan swasta yang selalu membuat pesanan COD dengannya, sama ada melalui Facebook atau aplikasi WhatsApp.

Abdul Rahman berkata, daripada nasi ayam sambal ‘ngesit’, dia kemudian mempelbagaikan menu COD dengan memperkenalkan nasi kukus ayam goreng berempah, nasi tomato, ayam masak merah, ayam masak kicap dan nasi campur, malah bercadang memperkenalkan hidangan barat, chicken chop atas permintaan pelanggan yang inginkan menu sihat pada masa akan datang.

Bercerita lanjut, Abdul Rahman berkata, tidak lama menjalankan COD, seorang kenalan telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menyediakan katering meraikan sambutan hari lahir anaknya dengan menempah nasi ayam sambal ‘ngesit’ sebagai menu utama dan beberapa lagi hidangan lain termasuk kuih-muih.

Menurutnya, itulah pengalaman pertama menerima tempahan katering, lalu dia memuat naik gambar masakan dan sambutan meriah hari lahir di rumah kenalannya itu dalam Facebook.

“Tanpa disangka, status dimuat naik itu mendapat maklum balas positif apabila seorang demi seorang pelanggan menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat katering sama ada untuk jamuan sambutan hari lahir, kenduri kahwin, tahlil, Aidilfitri, Aidiladha, sarapan, makan tengah hari dan minum petang di pejabat.

“Sejak itu, tempahan katering diterima tidak pernah putus termasuk dari pejabat kerajaan dan golongan kenamaan kerana berpuas hati dengan masakan serta perkhidmatan disediakan menyebabkan saya terpaksa menghentikan tempahan COD buat sementara waktu sekiranya sibuk menyediakan katering,” katanya.

Abdul Rahman berkata, keuntungan yang diperoleh bukan sahaja mampu menampung perbelanjaan keluarga, malah digunakan sebagai modal membeli peralatan katering dan menggaji orang untuk membantunya.

Bagi menjamin kepuasan pelanggan, dia memasak sendiri semua hidangan dengan memastikan rempah-ratus yang digunakan adalah segar dan menepati sukatan manakala khidmat pembantu hanya digunakan untuk membungkus, menghidang dan lain-lain semasa katering atau COD.

“Tentang kepakaran memasak, saya ibarat ‘bidan terjun’ kerana tidak pernah mengikuti kelas formal memasak tetapi saya rajin bertanya, belajar dan membuat eksperimen masakan. ‘Guru’ rujukan saya ialah ibu, kakak dan ‘Google’ di Internet,” katanya sambil memberitahu hobi suka makan juga salah satu sebab dia minat memasak.

Mereka yang ingin membuat tempahan katering dan COD boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 011-27636191 atau melawat Facebook Rahman Adam.