Tertekan dengan apa yang berlaku, Nor Mohd. Hafiz Mansor hanya berkurung di dalam rumah dan kadangkala di pejabatnya.

Pengalaman pada penghujung tahun 2014 itu benar-benar menyentak semangat anak muda berusia 32 tahun itu kerana produk yang dijual secara online, CoolHijab mula menempa nama dalam dunia perniagaan online.

Mujur ada rakan-rakan dalam dunia perniagaan yang banyak memberi kata-kata semangat dan nasihat, selain tunjuk ajar bagaimana menghadapi situasi sedemikian.

Nor Mohd. Hafiz mula sedar tidak guna duduk berkurung seorang diri di rumah, sebaliknya dia perlu keluar berjumpa dengan rakan-rakan dan melakukan aktiviti bagi meringankan beban di kepala ketika itu.

Sehingga ada ketikanya, Nor Mohd. Hafiz menyertai kelas menulis dan mengenal aura warna. Dia kemudian cuba memakai baju dengan warna-warna sesuai bagi membangkitkan aura dan semangat positif di dalam dirinya tatkala berhadapan dengan situasi sukar dalam hidupnya itu.

Setelah diisytiharkan muflis, Nor Mohd. Hafiz bangkit dari keadaan itu. Dia bertekad untuk membetulkan apa yang berlaku lantas meneruskan perjalanan perniagaan onlinenya dengan produk khusus untuk penjagaan rambut wanita bertudung.

“Produk ini dihasilkan apabila saya melihat adik perempuan saya mengalami masalah rambut gugur kerana bertudung. Lalu saya mendapat idea untuk menghasilkan produk itu,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Sebelum produk itu terhasil, Nor Mohd. Hafiz sebenarnya telah melakukan pelbagai jenis perniagaan. Sepanjang tempoh sejak dia bersekolah sehinggalah dia melanjutkan pengajian ke politeknik, Nor Mohd. Hafiz tidak pernah lelah berniaga untuk menambah pendapatan.

Jatuh bangunnya rancak ketika dia memulakan perniagaan kedai telefon. Bermula dari situ, dia mula mengembangkan pelbagai jenis perniagaan.

“Namun kesilapan ketika itu adalah menggunakan aliran tunai dari perniagaan utama untuk disalurkan ke perniagaan lain sehingga semua perniagaan menghadapi masalah kewangan.

“Akhirnya banyak hutang tertunggak. Saya berusaha keras menyelesaikannya, namun gagal. Ketika saya telah menemui produk yang saya benar-benar yakin bagus, saya diisytiharkan muflis pula,” katanya.

Namun, apa yang berlaku mempunyai hikmah. Mohd. Nor Hafiz kini lebih kuat untuk bangkit dari kegagalan masa lalu. Dalam keadaan itu, dia terus bergerak dengan CoolHijab yang pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Malah, Nor Mohd. Hafiz sendiri tidak menyedari jualan CoolHijab telah mencapai enam angka hanya selepas beberapa bulan dilancarkan secara lebih profesional.

“Apa yang berlaku mengajar saya bahawa tiada guna meletakkan ego terlalu tinggi apabila sudah mendapat hasil yang baharu sedikit dalam berniaga. Apabila hendak berniaga, jangan terburu-buru mengejar keuntungan sehingga terlupa untuk fokus pada perniagaan yang berpotensi,” katanya.

Beliau yang sudah setahun lebih diisytiharkan muflis kini berusaha untuk keluar dari belenggu itu. Namun, dia tidak merasakan statusnya itu sesuatu yang memalukan, sebaliknya ia menjadi penguat semangat kepada rakan-rakan yang lain.

“Pernah ada seorang usahawan hubungi saya untuk mendapatkan nasihat kerana dia juga berada dalam situasi yang sama.

“Akhirnya dia berasa lega kerana mengetahui masih ada jalan keluar dan hidup tidak semestinya berakhir apabila diisytiharkan muflis,” katanya.