Melihat kepentingan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan satu garis panduan untuk golongan peniaga iaitu Modul Etika Perniagaan Malaysia yang dibukukan.

Modul itu telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, semalam.

Menurut kenyataan kementerian itu, secara dasarnya, kod etika perniagaan tersebut telah diamalkan sejak 2015 dan diguna pakai oleh beberapa syarikat perniagaan multinasional, agensi kerajaan dan universiti awam.

Kini modul etika yang mendapat nafas baharu itu bakal digunakan oleh kumpulan pengamal profesional (PPG) yang dilantik untuk dijadikan rujukan dalam menyampaikan silibus etika perniagaan kepada komuniti perniagaan.

“Kod etika perniagaan ini telah dijadikan antara silibus dalam pengajaran dan pembe­lajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selain itu ia juga diterbitkan dalam enam bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Ing­geris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Iban dan bahasa Kadazan,” jelas kenyataan itu di sini.

Modul etika tersebut diterbitkan menerusi hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama pakar-pakar dalam bidang integriti dan perniagaan.

Antaranya Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), UiTM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Perniagaan Beretika Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Modul tersebut berpotensi membantu peniaga mengawal situasi dunia perniagaan yang sentiasa berubah terutama ketika perniagaan menjadi kom­p­leks dan mencabar.