Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang dimulakan sejak 2013 di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) KKLW itu dilihat berpotensi membantu kumpulan sasar terutamanya belia untuk menjana pendapatan ma­sing-masing melalui perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurutnya, program yang dijenamakan semula sebagai Mobilepreneur KKLW berasaskan konsep perkhidmatan bergerak itu selari dengan usaha kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia melibatkan diri dalam bidang ke­usahawanan.

“Program ini adalah satu inisia­tif bagi membantu golongan belia terutamanya dari luar bandar yang mempunyai kemahiran tertentu menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

“Ia juga dilihat sesuai de­ngan keperluan semasa di mana masyarakat tidak perlu ke kedai untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Melaka di Dewan Japerun Sungai Udang, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Keusahawanan Desa) KKLW, Datin Seri Elena Chiang Abdullah;

Pengerusi GiatMara, Datuk Azian Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pemba­ngunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Pada majlis itu, sebanyak 20 peserta daripada Melaka me­nerima bantuan di bawah program Mobilepreneur KKLW 2016 dianggarkan bernilai RM10,000 setiap satu.

Program ini dilaksanakan melalui pemberian pakej lengkap kepada peserta termasuk sebuah motosikal Modenas yang diubahsuai reka bentuk (Rear Box), peralatan mengikut bidang kemahiran peserta dan kursus asas keusahawanan untuk memulakan perniagaan.

Jelas Ismail Sabri, program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia itu memberi peluang kepada lebih ramai anak muda untuk bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.

Katanya, inisiatif berkenaan seterusnya boleh menjadi batu loncatan kepada mereka untuk menerokai dunia perniagaan secara lebih meluas seterusnya berupaya memiliki syarikat sendiri pada masa akan datang.

“Situasi ini juga diharap dapat membantu kerajaan mencapai matlamat transformasi ekonomi di luar bandar selain meningkatkan taraf hidup golongan ber­kenaan,” ujarnya.

Jelas beliau, pelaksanaan program Mobilepreneur itu juga dilihat sebagai satu langkah baik bagi membolehkan bidang keusahawanan berkembang dan meningkatkan tahap ekonomi luar bandar secara berterusan.

Katanya, ia juga diharap dapat memberi manfaat kepada golo­ngan masyarakat luar bandar berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran dan cenderung dalam bidang keusahawanan.

“Saya positif bahawa program Mobilepreneur KKLW memiliki potensi tersendiri dari segi konsep dan pelaksanaannya kerana ia bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat,” tambah­nya.