Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata ia sejajar kejayaan projek Transit Aliran Massa (MRT) membuktikan keupayaan syarikat bumiputera mengendali serta menyiapkan projek pengangkutan awam itu.

"Kita berharap model ekonomi sedia ada yang dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera dalam konteks MRT, (turut) diperluaskan kepada projek-projek besar lain.

"Peruntukan 50 peratus nilai keseluruhan kontrak projek MRT akan menjadi penanda aras dan peningkatan peratusan itu dibuat mengikut kesesuaian projek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Produktiviti anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Indkom Engineering Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MPC Datuk Mohd. Razali Hussain dan Pengarah Urusan Indkom Jamaludin Mohd. Wari.

Semalam ketika berucap pada majlis pelancaran MRT laluan Sungai Buloh-Kajang, Perdana Menteri berkata 50 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak projek MRT telah diserahkan kepada Bumiputera yang layak dan ia mengatasi sasaran awal sebanyak 43 peratus.

Mengulas lanjut, Ahmad menyifatkan langkah mampu membuka peluang untuk syarikat bumiputera berkelayakan mengembangkan perniagaan mereka, sekaligus memacu ekonomi mereka ke tahap lebih tinggi.

"Saya berharap projek besar lain dapat menggunakan konsep sama sepertimana projek Tun Razak Exchange (TRX), Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya.

Selain itu, Ahmad berkata Malaysia mampu berada dalam kelompok 20 negara memiliki ekonomi terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia berdasarkan kedudukan negara menerusi tiga pengiktirafan -- 'The Ease of Doing Business' (Kemudahan Menjalankan Perniagaan), 'World Competitiveness Yearbook' (Buku Daya Saing Tahunan Global) dan 'Global Competitiveness Report' (Laporan Daya Saing Global), baru-baru ini.

"Menerusi 'The Ease of Doing Business,' Malaysia di kedudukan 23 daripada 190 negara; di tempat ke-19 daripada 61 negara dalam 'World Competitiveness Yearbook' dan dalam kelompok 25 terbaik daripada 138 negara menerusi 'Global Competitiveness Report.'

"Ia menunjukkan kita boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan Malaysia muncul antara 20 negara terbaik," katanya. - BERNAMA