Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros berkata, pameran edisi ke-14 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) memainkan peranan penting bukan sahaja kepada pembangunan industri halal di Malaysia, malah berjaya mempromosi produk dan perkhidmatan halal ke pasaran antarabangsa.

Katanya, populasi muslim yang dijangka meningkat kepada 2.6 bilion menjelang 2020 bakal memberi impak positif terhadap permintaan produk dan perkhidmatan halal dalam pasaran global dengan ketika ini industri halal bernilai AS$2.3 trilion (RM10.26 trilion) setiap tahun.

“Sejak pertama kali diadakan pada 2004, Mihas telah berkembang menjadi pameran halal terbesar di dunia yang menjadi platform terbaik bagi pemain industri mempamerkan produk dan perkhidmatan halal yang inovatif selain tempat pertemuan pempamer berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam industri halal.

“Walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kami optimis Mihas 2017 dapat mencapai pertumbuhan jualan antara empat hingga lapan peratus dipacu oleh beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan tahun ini termasuk pengenalan Pameran Gaya Hidup Islamik Antarabangsa Malaysia (MILE),” katanya dalam sidang akhbar pelancaran logo baharu Mihas di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (I) Matrade, Wan Latiff Wan Musa; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (II) Matrade, Sharimahton Mat Saleh dan Pengarah Unit Makanan, Biotek & Halal Matrade, Aminuddin Sham Tajudin.

Sejak penganjuran kali pertama pada 2004, Mihas telah berjaya merekodkan jualan sebanyak AS$3.8 bilion (RM16.95 bilion) melalui kehadiran seramai 323,000 pengunjung perdagangan dari 70 negara dan penyertaan 5,800 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Mihas 2017 bakal disertai oleh 550 pempamer dari lebih 30 negara termasuk Indonesia, Thailand, Turki, Brazil, Afrika Selatan dan China.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahreen Zainooreen berkata, Mihas akan melalui beberapa penjenamaan semula selaras dengan penganjuran pameran kali ke-14 ini termasuk memperkenalkan logo baharu bagi memastikan Mihas terus relevan selain memantapkan jenama Mihas di peringkat global.

Katanya, proses penjenamaan semula juga perlu untuk meningkatkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan bukan sahaja pemain industri dari dalam dan luar negara, malah penglibatan orang ramai.

“Logo baharu yang mengambil inspirasi daripada tulisan kaligrafi Kufic Arab berasal dari Kufa, Iraq pada abad ke-7 memaparkan keunikan dan kemajuan Mihas manakala kombinasi warna oren, biru dan putih pula melambangkan kekuatan, optimisme dan keterbukaan yang dimiliki Mihas.

“Saya juga menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat Malaysia, terutama 900,000 perusahaan kecil dan sederhana berdaftar supaya menjadi sebahagian daripada pameran ini bagi memacu pertumbuhan industri halal tempatan,” katanya.