Selain daripada itu, ada juga yang masih lagi belajar tetapi sudah pandai mengumpulkan aset simpanan seperti pembelian emas, melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain serta mempunyai aset hartanah sebagai pelaburan.

Mungkin bagi mereka yang bekerja masih tidak sedar dan tidak nampak lagi kehadiran anak-anak muda ini serta mera­sakan ia adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk mereka capai.

Tetapi bagi usahawan-usahawan muda yang baharu hendak bermula, kejayaan demi kejayaan yang ditonjolkan oleh ikon ini di media sosial terutamanya di Facebook dan Instagram membuatkan lebih ramai golongan muda mendapat inspirasi dan mula bangkit untuk berjaya.

Antaranya yang mungkin kita boleh perhatikan seper­ti Radkl Premium, Chettaki Omey, Ombak Exclusive, Serdang Cendol, QAMIISQA, Qiey In Jewels, CvuIpata Legacy dan banyak lagi.

Apa yang lebih menarik ada dalam kalangan golongan muda ini hanya menjual produk orang lain dan mampu mengutip jualan sehingga ratusan ribu setahun. Dan apa yang membuatkan mereka ini berjaya?

1. Keinginan mencabar diri sendiri.

Kebanyakan usahawan muda terutama yang masih belajar melakukan sekadar suka-suka dan lebih kepada mendapatkan duit poket untuk perbelanjaan makan dan minum seharian.

Tetapi lama-kelamaan tim­bul satu keinginan untuk men­cabar diri mereka mencuba sesuatu yang lain. Dan daripada rasa ingin berbeza itu, mereka mencabar diri untuk menjadi seseorang yang lebih berjaya.

2. Kurangkan kebergantu­ngan pada ahli keluarga.

Tanamkan dalam diri untuk mengurangkan beban keluarga. Sikap ini harus dipupuk terhadap pelajar masa kini dan jangan terlalu manja dengan suapan keluarga tidak kira pelajar itu berasal daripada keluarga yang berkemampuan atau pun tidak.

Hanya kerana keluarga boleh membantu, pelajar ini tidak mahu belajar berdikari untuk cuba mencari duit poket walaupun sedang belajar.

Daripada itu nanti akan timbul minat dan ingin berusaha sehinggalah boleh mengusahakan perniagaan sendiri. Alangkah seronoknya apabila mampu memegang hasil titik peluh sendiri dengan mencari pendapatan sampingan.

3. Mempunyai sikap ingin berjaya.

Sikap ini harus ada pada seorang pelajar yang ingin berjaya. Jika melihat mereka yang telah berjaya melalui fasa pertama dalam perniagaan pasti mempunyai sikap yang lain daripada biasa.

Contohnya seperti mereka akan lebih berfikiran terbuka, sedia menerima teguran atau pun meminta untuk ditegur, tidak sombong untuk mendapatkan sesuatu ilmu, sentiasa merendah diri dan dalam pada masa yang sama mereka menjalinkan hubungan yang baik sesama rakan perniagaan yang lain.

Sikap akan melambangkan diri seseorang itu untuk membawa dirinya ke arah mana sama ada akan berjaya dalam perniagaan atau sebaliknya.

4. Berani mempunyai impian yang besar.

Mereka yang menceburi bidang perniagaan tidak boleh hanya setakat mempunyai impian yang kecil seperti ingin berniaga sekadar untuk menampung diri sendiri sahaja.

Sebagai pelajar, wajib berfikiran lebih jauh dan optimistik untuk membina empayar yang lebih besar. Kemudiannya mempunyai matlamat yang jelas untuk membantu orang lain mendapatkan pendapatan serta ingin memberikan pekerjaan kepada mereka.

5. Tidak mudah beri alasan dan banyak ‘tapi’.

Mereka yang tidak ingin berjaya akan sering mengatakan `tapi’. Mereka juga sering mencari alasan dan akhirnya tidak nampak cara untuk memajukan diri sendiri.

Orang yang sudah berjaya lebih banyak melalui saat-saat jatuh dan bangun berulang-ulang kali namun tidak pernah berputus asa untuk meneruskan perjalanan kerana mereka tidak mudah memberi alasan untuk berhenti.

Siapa kata pelajar universiti tidak boleh berjaya dalam bidang perniagaan? Semua pilihan terletak di tangan anda untuk memilih sama ada ingin memajukan diri atau sekadar duduk sahaja menunggu tuah untuk datang. Marilah bangkit untuk masa depan diri dengan mengusahakan sesuatu.

MOHD. SHAFIQ ABD LATIF adalah pelajar tahun 4 Bacelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia