Walau bagaimanapun, Malaysia masih kurang berkembang dari segi kesetaraan jantina dalam pasukan pengurusan tertinggi platform e-dagang. Hasil penyelidikan kami mengenai platform e-dagang Malaysia mendedahkan bahawa 9 peratus daripada kedudukan peng­urusan dipegang oleh wanita dan 91 peratus oleh lelaki. Malaysia juga sedikit ketinggalan berbanding dengan negara jiran seperti Vietnam, Filipina, Thailand, dan Indonesia yang mana mereka mempunyai lebih daripada 20 peratus wanita di pe­ringkat pengurusan tertinggi.

Ini penting kerana wanita kini adalah bahagian besar demografi Malaysia pada hari ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyatakan bahawa 57 peratus pembeli dalam talian hari ini adalah wanita. Oleh itu, adalah penting bahawa golongan wanita diwa­ki­­li di peringkat pengurusan tertinggi dalam industri digital yang sedang membangun de­ngan pesat masa kini. Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan?

Ramai wanita tidak maju ke peringkat pengurusan tertinggi

Melihat kepada peringkat pengurusan, tidak ada masalah kekurangan wanita dalam tenaga kerja. Apabila menganalisis bilangan wanita dalam kedudukan pengurusan atasan e-dagang, kami mendapati 25 peratus wanita memegang jawatan naib presiden kanan, 23 peratus memegang jawatan naib pre­siden dan 48 peratus berada di peringkat ketua jabatan berbanding lelaki.

Golongan wanita diwaki­li dengan baik di peringkat pertengahan pengurusan, tetapi hanya segelintir sahaja wanita yang berjaya maju ke peringkat pengurusan tertinggi.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Menteri Pemba­ngunan Masyarakat, Hannah Yeoh menyatakan bahawa bilangan wanita yang mengikuti kursus pengajian tinggi semakin meningkat tetapi ini tidak dapat dilihat dalam jawatan peringkat tertinggi di tempat kerja.

Untuk mengurangkan perbezaan wanita pada tahap ini, Yeoh berkata, terdapat banyak permintaan untuk memperkuatkan hak-hak wanita dan mengenali kepentingan peranan mereka. Beliau menyarankan sektor swasta harus mencontohi kerajaan seperti membuka pusat penjagaan kanak-kanak di pejabat bagi menggalakkan kemajuan wanita di dalam kerjaya mereka.

Isu ini juga telah dibangkitkan di Singapura. Pengarah Infrastruktur Teknologi Citibank, Meggy Chung menyatakan ba­nyak yang perlu dilaksanakan bagi merapatkan jurang antara jantina. Terutama­nya bagi wanita yang meme­gang jawatan kepe­mimpinan dalam bidang teknologi, memandangkan pera­nan tersebut biasanya diterajui lelaki.

Usaha e-dagang yang perlu dilakukan untuk mengatasi kekurangan wanita di kedudukan pengurusan atasan

Jika e-dagang serius dalam merealisasikan potensi penuh e-dagang di Malaysia seperti yang diramalkan oleh Google dan Temasek, setiap perniagaan harus aktif memainkan peranan bagi mengatasi kekurangan wanita di kedudukan pengurusan atasan. Ia juga bukan lagi rahsia bahawa wanita dibayar jauh lebih rendah berbanding lelaki. Di Singapura, Kementerian Tenaga Manusia menyatakan gaji bulanan lelaki secara purata adalah RM12,100 manakala wanita RM10,200, iaitu berbeza kira-kira 18 peratus.

Untuk berusaha ke arah penyelesaian, majikan harus menawarkan gaji yang berdasarkan pada skop kerja dan bukan dari segi sejarah gaji terdahulu. Seorang jurucakap daripada agensi pekerjaan bernama HireRight te­lah mengetengahkan isu ini dan menyatakan bahawa majikan sukar untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada golo­ngan wanita disebabkan oleh gaji sebelumnya yang rendah.

Mencerminkan kejayaan dari United Kingdom, jumlah wani­ta di syarikat tersenarai awam meningkat daripada 12 peratus pada 2010 kepada 26 peratus pada tahun 2017 dengan memasukkan wanita dalam tahap pengurusan tertinggi. Untuk merapatkan jurang ini, perniagaan e-dagang mesti mengakui kekurangan wanita di peringkat pengurusan tertinggi sebagai isu sebenar dan mengambil langkah yang lebih praktikal untuk mengatasinya.

Pada tahun lalu, kerajaan Malaysia menetapkan sasaran bagi syarikat senaraian awam untuk menyasarkan sekurang-kurang­nya 30 peratus wanita di peringkat lembaga pada tahun 2020. Sasaran yang sama harus disasarkan oleh perniagaan e-dagang jika mereka serius dalam mena­ngani isu jurang perbezaan jantina.

Jeremy Chew adalah Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group (https://iprice.my)